Selasa, 7 Disember 2010

GALAS : ORANG ASLI, TANAH DAN AKTA ORANG ASLI TAHUN 1954 (AKTA 134) ~Bahagian 3


~sambungan bahagian kedua yang lepas

Dalam bahagian kedua yang lepas kita telah membincangkan penerimaan Akta Orang Asli 1954 dalam negeri Kelantan. Oleh kerana Akta berkenaan tidak diterima pakai dalam negeri ini maka
 tiada tanah negeri diisytiharkan sebagai Rizab Orang Asli atau kawasan orang asli dibawah seksyen 6 dan 7 akta tersebut. Namun pun begitu dasar negeri telah menggunapakai seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu mengisytiharkan tanah tertentu sebagai rizab awam untuk kegunaan orang asli diletakkan kawalan dibawah penguasaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Kelantan.

Mengikut sumber kerajaan negeri, pihak kerajaan pada mulanya ingin memproses pemberian milik dibawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965 kepada masyarakat orang asli di Gua Musang. Ia adalah kuasa negeri sebagaimana diperuntukan oleh seksyen 43 Kanun Tanah Negara 1965. Dikatakan bagi kawasan Kuala Betis sahaja ia melibatkan 900 lot iaitu Tapak rumah beserta dusun 300 lot dengan keluasan 1-3 ekar setiap lot, tanah Ladang getah 300 lot dengan keluasan 5-6 ekar setiap lot, dan tanah sawit sebanyak 300 lot dengan keluasa 1.8 – 2.2 ekar bagi setiap lot.
            Tanah ladang dibangunkan secara pajakan kepada syarikat dan diberimilik kepada individu orang asli selepas berjaya mengeluarkan hasil.

             Adalah dicadangkan tanah dusun dijadikan kebun dapur bagi setiap keluarga dan diluluskan hakmilik segera pajakan pendek 15 tahun, untuk permulaannya berimilik dan boleh disambung atas permohonan pemilik berasaskan kejayaan dusun masing-masing. Cadangan Perlaksanan Kebun Dapur  ini dibuat untuk mempastikan orang asli berhenti dari amalan primitif berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan disamping mempastikan orang asli dapat menghasilkan sumber makanan sendiri untuk keluarga, membantu mengurangi masalah kurang zat makanan.

Urusan pemberianmilik tanah bukan boleh dibuat begitu sahaja, ia meliputi kerja-kerja pengecaman dan pengukuran bagi membolehkan ianya diangkat untuk kelulusanPihak Berkuasa Negeri. Persetujuan pada peringkat awal antara kerajaan negeri dan persekutuan ialah ukuran dibuat oleh juruukur swasta yang kosnya ditanggung oleh JHEOA yang dianggarkan sebanyak RM 2.5 Juta. Namun apa yang mendukacitakan ialah peruntukan diberikan hanyalah sebanyak RM300,000.00 sahaja dan peruntukan bagi membayar baki upah ukur dan bayaran premium tidak mendapat maklumbalas daripada pihak kementerian dan JHEOA. Ini menyebabkan urusan pemberimilikan tanah kepada masyarakat orang Asli khususnya di Kuala Betis tidak dapat diteruskan dan ditangguhkan.
Inilah yang saya maksudkan sebagai perlunya kerjasama daripada kementerian atau kerajaan persekutuan dalam urusan penyelesaian tanah orang Asli. Dari sudut kerajaan negeri, pihak mereka telah menjalankan peranannya dengan sebaik mungkin Cuma yang perlu ialah kerajaan persekutuan perlu memainkan peranannya yang telah dipersetujui. Wang sebanyak RM 2.5 juta tidaklah banyak rasanya jika dibandingkan dengan kesejahteraan yang akan dinikmati oleh masyarakat Orang Asli di Gua Musang.
Oleh kerana tiada respon positif daripada kerajaan persekutuan dalam hal penyelesaian tanah Orang Asli di Gua Musang maka pihak kerajaan negeri telah mencadangkan agar kawasan-kawasan orang Asli di wartakan dibawah seksyen 62 Kanun Tanah Negera 1965 sementara menunggu penyelesaian bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
            Sesungguhnya sangat besar perbezaannya tanah yang dirizabkan dengan tanah yang diberimilik kerana tanah rizab adalah dibawah penguasaan pegawai pengawalnya yang tersendiri seperti dalam kes ini ialah dibawah kawalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri kelantan manakala tanah yang diberimilik menjadi hak individu tuan-tuan tanah masyarakat orang Asli. Kesan-kesannya adalah banyak dan rasanya tidak perlu untuk dikupas disini. Insya Allah saya akan kupaskan dalam tajuk yang lebih spesifik pada masa akan datang.

Sekian..
Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan ia bersifat akademik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan