Isnin, 31 Januari 2011

Kuasa PBN Batalkan Kelulusan Pindahmilik


Ada satu kes dimana seorang Tuan Tanah berstatus Melayu Anak Kelantan ingin membuat pindahmilik tanah kepada seorang Bukan Melayu Bukan Anak Kelantan bagi satu lot tanah didalam Kawasan Simpanan Melayu. Tanah tersebut mempunyai Sekatan Kepentingan dibawah Seksyen 120 Kanun Tanah Negara 1965.  Penerima pindahmilik (Pembeli) membuat permohonan untuk memindahmilik dibawah  Seksyen 120 Kanun Tanah Negara dan Seksyen 104 Enakmen Tanah Kelantan 1938 dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri dengan meletak syarat bahawa pindahmilik dibuat dengan cara serahbalik dan berimilik semula. Belum sempat proses tersebut dibuat Pihak Berkuasa Negeri telah membatalkan kelulusan yang diberi. Isunya sama ada Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa membuat keputusan berkenaan atau tidak.   

Disini sedikit ulasan yang boleh dijadikan panduan untuk kita sama-sama berbincang isu ini. Sekyen 104 Enakmen Tanah Kelantan 1938 melarang pendaftaran pindahmilik tanah seorang peranakan Kelantan kepada Bukan Peranakan Kelantan kecuali ia diberi kebenaran oleh PBN. Hanya dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri sahaja sesuatu instrumen pindahmilik itu boleh didaftarkan. Pihak Berkuasa Negeri juga berhak mengenakan syarat-syarat yang ia rasakan sesuai semasa memberi kelulusan tersebut.

Oleh yang demikian, PBN dalam kes ini telah mengenakan beberapa syarat antaranya tuan tanah mestilah menyerah balik tanah tersebut kepada kerajaan negeri dengan menggunakan Borang 12A KTN dan manakala Penerima pindahmilik hendaklah memohon milik tanah tersebut dengan menggunakan Borang Jadual 1. Tanah tersebut kemudiannya diberimilik kepada bakal penerima pindahmilik dibawah seksyen 13A Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930 dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965.

Seksyen 78(3) Kanun Tanah Negara 1965 menjelaskan bahawa sesuatu tanah yang diberimilik hendaklah berkuatkuasa apabila pendaftaran dokumen hakmilik daftaran didaftarkan. Meskipun pemberianmiliknya telah diluluskan oleh PBN, selagi dokumen hakmilik daftaran tidak didaftarkan ia tetap menjadi tanah kerajaan hingga masa itu. Ratio Decidendi dalam kes Dr Ti Teow Siew & ors v Pendaftar Geran-Geran Tanah Negeri Selangor  (1982) 1 MLJ 38 telah menjelaskan hal berkenaan.


Selagi tanah itu merupakan tanah kerajaan, Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa dibawah Seksyen 41 KTN 1965 untuk memberimilik tanah tersebut atau tidak bahkan PBN berhak untuk menentukan jumlah premium dan juga berhak menentukan sama ada ia akan diberimilik selama-lamanya atau bertempoh pajakan.


Dalam kes yang dihadapi ini, pemberianmilik kepada bakal penerima pindahmilik telah diluluskan (melalui kelulusan pindahmilik secara serahbalik dan berimilik semula) namun ia tetap menjadi tanah kerajaan kerana dokumen daftaran hakmilik daftaran belum lagi didaftarkan bahkan proses serah balik tanah oleh tuan tanah masih belum lagi dibuat sehinggalah kelulusan pindahmilik itu dibatalkan oleh PBN..

Namun mungkin boleh dijadikan rujukan berkenaan perkara ini dalam kes Azam Cemerlang Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Sepang & Kerajaan Negeri Selangor yang diputuskan pada Mei 2010, Hakim YA Datuk Nurchaya Arsad telah membenarkan permohonan perintah Certiorari oleh pemohon untuk membatalkan keputusan PBN menarikbalik kelulusan pemberian milik tanah daripada pemohon dengan hujah bahawa walaupun KTN memberi kuasa penuh kepada PBN untuk memberimilik tanah namun PBN perlu melaksanakan kuasa budibicara sebaiknya.



Walaubagaimanapun kelulusan pindahmilik tersebut seharusnya tidak diberikan selaras dengan Keputusan MMK  Kelantan yang dipekelilingkan kepada semua pentadbir Tanah melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan Bil  2 Tahun 1988 iaitu pada perenggan 2.4.2 bagi tanah luar Rizab Melayu pindahmilik daripada Orang Melayu kepada Orang Bukan Melayu Bukan Anak Kelantan tidak boleh dipertimbangkan, tetapi dalam satu-satu kes dan atas sebab-sebab tertentu bolehlah diangkat permohonan bagi pertimbangan khusus Mjalis Mesyuarat Kerajaan.

Saya mohon jika ada sebarang perbincangan dalam perkara ini. dipersilakan secara ilmiah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan