Ahad, 12 Disember 2010

Jabatan Kerajaan 'PATUT" Hormat Perlembagaan Negara dan Undang-Undang; Jika tidak Kerajaan, siapa lagi?


 




Sebuah bangunan yang telah dibina oleh sebuah agensi kerajaan Persekutuan (KESEDAR) di Gua Musang di atas tanah milik Kerajaan Negeri Kelantan tanpa memohon kebenaran kerajaan negeri sebagai tuan punya tanah. mengikut sumber, walaupun berkali-kali ditegur perbuatan agensi kerajaan itu namun mereka tetap berdegil sehingga bangunan itu disiapkan.

Walaupun pembinaan bangunan ini melibatkan kawasan bandar namun  dikatakan KESEDAR tidak memohon kebenaran Pihak Berkuasa Perancang di jajahan ini bagi membinanya. 

teringat lagu dalam cerita Nujum Pak Belalang "Kami lah penyamun di dalam negeri...kami penyamun di dalam ini negeri, kerja merompak, menyamun dan mencuri....."

Ada orang berkata projek PPR Gua Musang yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semasa Pilihanraya Kecil Galas baru-baru ini juga diragui status tanahnya. Ada orang kata  tanah itu juga masih merupakan milik Kerajaan Negeri Kelantan namun KESEDAR selaku agensi Kerajaan Persekutuan yang dominan di Jajahan ini mengaku ia adalah milik mereka...betul ke???? atau Ku Li dah kena tipu oleh KESEDAR?.

 

RM180 juta untuk projek PPR





Kerajaan prihatin keperluan rakyat berpendapatan rendah di Gua Musang

GUA MUSANG: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM180 juta bagi membina 1,500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewakan dan dijual kepada penduduk miskin dan berpendapatan rendah sekitar jajahan ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, projek itu adalah manifestasi keprihatinan kerajaan Pusat terhadap keperluan perumahan di kalangan keluarga berpendapatan rendah jajahan ini, yang selama ini gagal dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan PAS. “Projek PPR ini adalah satu nikmat besar kepada rakyat di Gua Musang, kalau nak tunggu kerajaan negeri melaksanakannya, ia adalah sesuatu mustahil, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.

“Walaupun kerajaan Pusat membelanjakan RM180 juta bagi membangunkan projek ini, namun paling istimewa rakyat berpeluang memilikinya kelak pada harga kira-kira RM35,000 seunit atau menyewanya pada kadar RM124 sebulan,” katanya ketika melancarkan Projek PPR Gua Musang di Kompleks Sukan KESEDAR dekat Taman Wangi di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung; dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, yang memohon pelaksanaan projek PPR di Gua Musang sejak 2008.

PPR Gua Musang membabitkan 18 blok rumah pangsa lima tingkat akan dibangunkan atas tanah milik KESEDAR seluas 13.8 hektar di seberang Sungai Ketil.
Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat menyalurkan subsidi yang tinggi menerusi PPR kerana mengenangkan ketidakupayaan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan miskin dalam usaha memastikan rakyat mampu memiliki kediaman selesa.

“Walaupun 1,500 unit rumah yang dibina, hakikatnya ia akan memberi keselesaan kepada kira-kira 10,000 penduduk kerana setiap keluarga di sini mempunyai ahli keluarga yang ramai.

“Projek ini membuktikan BN sentiasa prihatin dan mengambil kira kepentingan serta keperluan bagi menyelesaikan masalah rakyat. Untuk itu juga, mulai tahun depan, golongan muda baru mendirikan rumah tangga akan dibantu untuk memiliki rumah menerusi pinjaman 100 peratus seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini,” katanya.

Muhyiddin turut mengarahkan agensi kerajaan yang ditugaskan mengawasi pelaksanaan PPR Gua Musang memastikan projek itu berjalan lancar dan siap seperti ditetapkan untuk kepentingan rakyat serta mengelak ia terbengkalai sehingga boleh dimanipulasi lawan untuk memperlekehkan BN.

Beliau berkata, lantaran kesungguhan kerajaan Pusat dalam membela nasib dan keperluan rakyat di seluruh negara, adalah tidak keterlaluan untuk meminta mereka terus memberi sokongan pada pada pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan