Isnin, 9 November 2009

Mega Structure

Mega structure : Kuala Lumpur City Centre

1.0 Pendahuluan

Kuala Lumpur City Centre dengan ketinggian 452 meter merupakan struktur yang tertinggi di dunia apabila diukur dari aras pintu utama sehingga ke puncak struktur antara 1998 dan 2004. Pengkritik mendakwa bahawa ia cuma tertinggi pada salah satu dari empat kategori yang ada, walaupun sebenarnya tiga kategori yang lain itu cuma diperkenalkan apabila menara berkembar ini hampir siap pada akhir 1996.

Ia merupakan suatu projek yang membanggakan rakyat Malaysia dan negara. Ia Mula dibina pada tahun 1992 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999 walaupun negara mengalami kegawatan ekonomi. Ini menunjukkan keupayaan negara dalam menyedia infrastruktur dan kemudahan dalam negara kita. Kuala Lumpur City Centre mula dibuka pada 31 Ogos 1999 sempena perayaan hari kemerdekaan Negara ini.

2.0 Analisa Struktur

Ia mempunyai 88 tingkat dengan keluasan 395000 meter persegi.

2.1 Perbandingan dengan bangunan tinggi lain

Syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas, bertekad untuk membina bangunan tertinggi dunia. Walaupun bangunan lain seperti Menara Sears mempunyai tingkat dihuni lebih tinggi, kemuncak (pinnacle) lebih tinggi, dan atap yang lebih tinggi. puncak (spires) Menara Berkembar PETRONAS menjulang sehingga 452 meter (1483 kaki) — tertinggi sehinggalah Taipei 101. Mengambil kesempatan berkenaan peraturan mengenai ukuran bangunan (mengira puncak (spires) tetapi menolak antena) telah menimbulkan banyak kontrovesi di atas dakwaan Menara Berkembar Petronas sebagai gelaran menara tertinggi dunia.

Kejadian pertama menggunakan puncak (spire) untuk meningkatkan tinggi diwartakan sesebuah bangunan adalah apabila Bangunan Chrysler didirikan. Puncak tersebut dibina secara rahsia bagi membolehkan Bangunan Chrysler berdiri lebih tinggi berbanding Bangunan Bank Of Manhattan.

2.2 Pembinaan

Menara Berkembar Petronas dibina diatas tapak seluas 40 hektar di kawasan Segi tiga emas Kuala Lumpur. Ia direka oleh arkitek Cesar Pelli dan disiapkan pada Mac 1996.

Menara kaca dan keluli tahan karat setinggi 88-tingkat, merupakan imbasan warisan Muslim Malaysia. Struktur asas merupakan rekabentuk yang dimajukan dari bangunan Chicago yang dibatalkan.

Untuk membuat tapak Menara Berkembar Petronas, bumi digali sedalam 117 meter, iaitu setinggi bangunan lima tingkat. Sejumlah 7,000 meter padu simen konkrit telah dituangkan selama dua minggu secara berterusan. Beratnya keseluruhan bangunan 100,000 tan.

Menara ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang unik dan pertama kali digunakan di Malaysia. Sewaktu berlaku gempa bumi atau puting beliung, menara ini akan condong. Kecondongannya mengikut tiupan angin kencang hingga 1.5 meter. Apabila bencana reda, menara akan tegak seperti biasa.

Terdapat 12 biji lampu disekeliling menara ini yang berkelip-kelip 24 jam sehari. Setiap satunya berharga RM15,000. Jumlah kos pembinaan Menara Berkembar Petronas RM270 juta.

3.0 Kemudahan sekeliling

3.1 Kompleks Membeli Belah

Di bawah Menara Berkembar Petronas merupakan kompleks membeli-belah popular, dikenali sebagai Suria KLCC.

3.2 Taman KLCC

Di luar bangunan terdapat sebuah taman yang di reka bentuk oleh Pasukan Pembangunan Taman, Projek Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC). Di taman ini terdapat kolam air pancut, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat galeri seni ukir dan mural.

3.3 Surau

Terdapat juga sebuah surau yang dibina untuk kegunaan orang ramai. Surau ini didirikan berasaskan seni bina Islam dan mampu menampung sehingga 6,000 jemaah. Terdapat juga Masjid Asy-Syakirin KLCC yang terletak bersebelahan dengan bangunan KLCC.

3.4 Jambatan angkasa

Menara Berkembar Petronas mempunyai laluan angkasa antara kedua menara pada tingkat 41 dan 42. Ia setinggi 170 meter dan sepanjang 58 meter. Tingkat yang sama dikenali sebagai podium kerana pelawat yang ingin pergi lebih tinggi perlu singgah untuk bertukar lif. Jambatan angkasa terbuka kepada semua tetapi perlu mengambil pas pelawat.

3.5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur adalah pusat pameran dan konvensyen utama di Kuala Lumpur, Malaysia.Pusat pameran dan konvensyen yang dibina khas ini merupakan sebahagian dari kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur, dan juga dikenali sebagai KLCC.

4.0 Isu-Isu Berkaitan

4.1 Didakwa tidak mesra rakyat dan membazir

Pembinaan KLCC telah dianggap sebagai sebuah projek gajah putih oleh sesetengah pihak. Ia dikatakan bukti kepada dasar Perbelanjaan Tidak Berhemah sebagaimana pembinaan struktur lain seperti Litar Sepang, Marina Mewah di Kuala Muda dan Kuala Terengganu serta pelbagai mercu tanda yang menjadi tarikkan pelancong. Walhal rakyat marhaien tidak diberikan peluang langsung bagi mendekati tempat-tempat ini dalam konteks pembatasan imej sebagaimana kawalan ketat KLCC terhadap kualiti dan barang yang dijual di premis yang disewakan.

Selain itu, sewa yang mahal telah menyebabkan usahawan tempatan angkat kaki kerana tidak mampun dan akhirnya tapak-tapak niaga disewa atau dijual kepada pelabur luar. Akhirnya projek mewah ini gagal dinikmati secara menyeluruh.

Pandangan ini ada benarnya, memang tidak dinafikan Negara kita menuju kearah Negara maju menjelang 2020. Negara maju bagi pandangan rakyat umum mestilah mempunyai bangunan yang besar, tinggi dan indah, ada rangkaian lebuhraya yang panjang, sistem pengangkutan dan perhubungan yang canggih, begitu jugalah pada pandangan pemimpin Negara. Maka kerajaan dalam usaha mencapai status Negara maju telah mewujudkan perkara-perkara seperti ini seperti Negara maju lain.
Tetapi hendaklah kita ingat, negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, membina binaan yang hebat-hebat itu setelah rakyat mereka mendapat kemudahan hidup yang selesa. Mereka punya bangunan atau binaan yang hebat tetapi dalam masa yang sama tidak ada rakyat mereka yang hidup di rumah-rumah setinggan. Apabila kehidupan rakyat benar-benar telah terbela barulah mereka beralih untuk membina projek mega.

Tidakkah kita berasa malu bila kita punya bangunan KLCC yang besar dan tinggi, Putrajaya yang besar dan indah tetapi masih ramai rakyat tinggal di rumah-rumah setinggan yang keadaannya lebih baik sedikit dari reban ayam itu.

Bibliography

  1. “Menara Berkembar Petronas” http://ms.wikipedia.org/wiki/Menara_Berkembar_Petronas

  1. "Projek Kerajaan BN Membazir dan Menyusahkan Rakyat". Dr. Hassan Ali. http://selangor.pas.org.my.

3. "Projek Mega Untuk Kesenangan Rakyat?".Mohd Sayuti Omar 2005. http://www.malaysiakini.com

Khamis, 5 November 2009

aktiviti komuniti servis di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu

1.0 PENDAHULUAN

Modul Community and Social Responsibility adalah antara modul yang utama dalam Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Bagi memenuhi keperluan kursus DPA ini, maka Modul CSR ini perlu disempurnakan dengan harapan ianya dapat melahirkan generasi Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang berpengetahuan dalam pengurusan dan pentadbiran sektor perubatan di samping memiliki rasa insaf, rendah hati dan sensitif dengan keadaan masyarakat di sekeliling mereka. Ia juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta-peserta tentang keadaan / situasi sebenar hospital dan para pesakit, pengetahuan berkenaan proses kerja serta tatacara menangani krisis dan kes di hospital, mewujudkan perasaan simpati / prihatin / empati / sikap ambil peduli di kalangan peserta dan bagi menghapuskan jurang interaksi sosial antara pegawai dan kelompok masyarakat yang menjadi pelanggan kepada salah sebuah organisasi perkhidmatan awam.

Pada DPA kali ini pelaksanaan Modul CSR adalah di Hospital-hospital pakar kerajaan seluruh Negara. Bagi kursus DPA Bil 1/2009, Modul CSR akan dilaksanakan secara bersiri iaitu sebanyak 3 siri. Bagi siri 1/3 Modul CSR Kursus DPA Bil. 1/2009, seramai 124 orang Pegawai tadbir Dan Diplomatik dari Sidang E dan A, Diploma Pengurusan Awam ( DPA ) sesi 1 / 2009 telah diarahkan untuk menjalani Modul Community Service Responsibility ( CSR ) di hospital-hospital terpilih. Terdapat 15 buah hospital semuanya yang meliputi hampir semua negeri dalam Malaysia termasuk Negeri Sabah dan Sarawak. Modul ini bermula 17 Ogos 2009 dan berakhir pada 21 Ogos 2009 iaitu selama 5 hari bekerja tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik.

Saya dan 6 orang lagi rakan dari sidang A dan E iaitu Amirah binti Azhari, Che Wahizatul Nadiah binti Che Abdul Wahab, Amirul Hisyam Bin Mohamad Sapri, Hazremi bin Hamid, Mohd Helmi Mat Zin, Wan Farah Hanim binti Wan Muhamad dan Norden bin Zakaria telah diarahkan untuk menjalani Modul ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Kami dikehendaki untuk membuat pemerhatian terhadap hal ehwal dan kebajikan para pesakit dan seterusnya menyediakan laporan. Kami juga dikehendaki untuk membuat catitan harian dibuku log harian yang dibekalkan dan diserahkan kepada pihak UDPA setelah tamat Modul ini.

Diakhir modul ini diharapkan agar para peserta dapat mencapai objektif-objektif yang ditetapkan dan dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing agar para Pegawai Tadbir Dan Diplomatik akan datang adalah pegawai-pegawai yang sensitif dengan keadaan sekeliling dan keperluan masyarakat.

2.0 Method Pemerhatian

Pada hari pertama kami melapor diri, kami telah memulakan tugasan kami dengan melawat wad-wad. Sebelum itu kami telah diberi penerangan oleh penyelia kami disini iaitu Puan Lim Lee Siew, Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan/Sumber Manusia). Puan Lim menerangkan bagaimana kami akan menjalanai modul ini dan bagaimana laporan-laporan itu akan dikemukakan kepadanya.

Kami dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan Kumpulan B. Pecahan ahli kumpulan adalah seperti berikut :

KUMPULAN

NAMA AHLI KUMPULAN

KUMPULAN A

Amirah binti Azhari,

Che Wahizatul Nadiah binti Che Abdul Wahab,

Amirul Hisyam Bin Mohamad Sapri,

Hazremi bin Hamid

KUMPULAN B

Mohd Helmi Mat Zin,

Wan Farah Hanim binti Wan Muhamad

Norden bin Zakaria

Kami akan bergerak secara kumpulan kecil yang dibahagikan ini agar penerangan yang dilakukan oleh petugas hospital nanti akan dapat diberikan fokus yang tinggi yang dapat menghasilkan pemahaman yang lebih baik.

Pergerakan kami pula ditetapkan sebagaimana berikut:

Tarikh/sesi

Kumpulan A

Kumpulan B

17 Ogos 2009/Petang

Kaunseling

Wad 26

18 Ogos 2009/Pagi & Petang

Fisioterapi

Kerja Sosial

19 Ogos 2009/Pagi

Kerja Sosial

Fisioterapi

19 Ogos 2009/Petang

A & E

Psikiatrik

20 Ogos 2009/Pagi

Psikiatrik

Kaunseling

20 Ogos 2009/Petang

Wad 26

A & E

21 Ogos 2009

Kawasan Hospital secara umum

Kawasan Hospital secara umum

Setelah siap sesuatu aktiviti lawatan, kami akan berkumpul untuk menyelaraskan maklumat masing-masing disamping melengkapi antara satu sama lain jika terdapat maklumat yang tertinggal dan sebagainya.

Selain daripada lawatan, kami juga melakukan sedikit temuramah dan bertanya kepada pesakit dan keluarga mereka mengenai perkhidmatan hospital dan kaunter serta meninjau kepuasan hati mereka diatas layanan yang diberikan oleh kakitangan hospital.

3.0 LATAR BELAKANG HOSPITAL

Sedikit latar belakang mengenai hospital kajian, Hospital Raja Perempuan Zainab II mula diasaskan pada tahun 1920an dengan nama Hospital Umum Kota Bharu. Peredaran zaman dan perisitiwa membantu mencorakkan pelbagai imej yang unik dan positif kepada hospital ini sehinggakan sebut sahaja nama Hospital Kota Bharu kepada warga Kelantan, pasti akan mengenalinya. Selama berpuluh tahun lamanya, ia dikenali sebagai Hospital Besar Kota Bharu. Hanya setelah 5 September 2005, ia mula dikenali dengan namanya sekarang iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II sempena nama Raja Perempuan Kelantan (Ku Nab) iaitu Bonda kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan sekarang. Di sini terdapat sebanyak 35 buah wad ( 920 buah katil ) yang terdiri daripada pelbagai disiplin perubatan seperti Pediatrik, Oftalmologi, Obstetrik & Ginekologi, Pembedahan ( Surgery ), Otopedik, Anestesiologi dan Psikiatri, yang mengendalikan beratus-ratus orang pesakit setiap hari, tidak termasuk ratusan lagi pesakit luar.

Dari sudut lokasi ianya terletak ditengah-tengah bandar Kota Bharu Bandaraya Islam dan sangat mudah untuk melawatinya. Ia bersebelahan Stadium Sultan Mohd ke IV, Kota Bharu.

Pengarah Hospital sekarang ialah Dr. Mohamad Bin Ismail. Ia mempunyai 11 ketua jabatan yang berpangkat JUSA. Pentadbiran hospital terbahagi kepada 2 bahagian yang besar iaitu Bahagian Pengurusan dan Bahagian Klinikal. Bahagian Pengurusan diketuai oleh seorang pegawai PTD Gred M52 iaitu Tuan Haji Ahmat bin Mat Zain manakala bahagian Klinikal pula diketuai oleh Dr. Che Wil Bin Awang, pegawai perubatan gred UD54.

4.0 LAPORAN DAN PENEMUAN

4.1 Hari Pertama (17 Ogos 2009)

Pada hari pertama kami melapor diri dengan Encik Fazli bin Abdul hamid iaitu Penolong Pengarah (Latihan / Sumber manusia) yang kemudiannya membawa kami berjumpa dengan Puan Lim Lee Siew, Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan). Seterusnya kami diperkenalkan dengan Timbalan Pengarah (Pengurusan) iaitu Encik Ahmat Bin Mat Zain. Kami diberi taklimat dan penerangan oleh puan Lim mengenai latarbelakang hospital Raja Perempuan Zainab II ini dan seterusnya dibahagikan kumpulan untuk menjalankan tugas-tugas sebenar kami disini.

Pada sebelah petang kami memulakan lawatan sebagaimana yang dijadualkan. Tempat pertama yang dilawati ialah wad 26 iaitu wad Paliatif. Wad Paliatif adalah satu wad yang dikhususkan bagi pesakit yang tiada harapan untuk sembuh. Keutamaan diberikan kepada pesakit kanser peringkat ketiga ( Stage Three, peringkat akhir ) yang dirujuk dari Jabatan Onkologi ( Kanser ). Wad ini bertujuan memberikan semangat dan motivasi kepada pesakit, bagi mengurangkan beban psikologi dan stigma yang ditanggung oleh mereka. Bagi tujuan itu, pihak pengurusan wad memberikan kelonggaran keluar masuk bagi pesakit dan pelawat. Pesakit bebas keluar masuk untuk mendapatkan rawatan luar seperti Kemoterapi, Deep X-Ray Teraphy dan seumpamanya dan juga bebas untuk melaporkan diri atau keluar ( discharge ) dari wad tanpa kekangan pihak hospital. Bagi pelawat, tiada had masa melawat dan mereka juga bebas keluar masuk bertemu pesakit. Pihak hospital amat menggalakkan kehadiran pelawat khususnya dari kalangan waris / keluarga kerana sokongan moral yang terbaik adalah melalui kunjungan dari mereka yang tersayang.

Terdapat 20 buah katil di wad ini di mana empat buah katil dikhaskan bagi pesakit yang memerlukan perhatian lebih rapi. Purata pesakit adalah seramai 13 orang dan rata-rata pesakit yang berada di sini adalah dirujuk dari kes pembedahan dan segelintir dirujuk dari kes ENT, Ophtalmologi dan O & G. Majoriti pesakit adalah kaum wanita dan kami difahamkan bahawa barah buah dada merupakan kes yang paling utama dikendalikan di sini.

Isu dan permasalahan yang dibangkitkan di sini adalah isu kekurangan staf khususnya jururawat. Kebanyakan jururawat adalah dikalangan ‘veteran’ yang hamper sampai usia pencen. Maka unit ini sangat memerlukan jururawat-jururawat baru sebagai pelapis kerana jururawat yang mengendalikan bahagian ini perlulah bijak dan pandai mengambil hati pesakit kerana mereka memerlukan rawatan psikologi. Namun begitu, jururawat-jururawat yang baru juga diberi latihan termasuk juga kakitangan-kakitangan yang lama turut diberi latihan jika adanya alat-alat baru di wad.

Wad ini juga bercampur antara lelaki dan perempuan. Kadang-kadang keluarga pesakit tidak faham dengan keadaan hospital maka mereka enggan meletakkan pesakit dari ahli keluarga mereka disini. Maka, pihak hospital mengharapkan agar ditambah bilik-bilik untuk pesakit bagi menjaga privasi pesakit dan menjadikan pesakit lebih tenang dan selesa sebelum mengakhiri hayat mereka.

Selain dari aktiviti rawatan biasa, pesakit juga akan diketemukan dengan ustaz-ustaz sekali seminggu bagi memberikan kesedaran tentang kehidupan akhirat dan memberi kefahaman kepada mereka erti qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah. Ini kerana masih ada yang tidak mahu menerima hakikat yang mereka tiada harapan sembuh dan menunggu kematian sehingga menjejaskan emosi dan perasaan mereka.

Suasana wad lama ini juga sedikit tidak selesa bila tiada kemudahan penghawa dingan disediakan. Diharap ia dapat disediakan untuk keselesaan pesakit dan juga ahli keluarga mereka.

4.2 Hari Kedua (18 Ogos 2009)

Pada hari kedua kami hanya menumpukan lawatan kami di Jabatan Kerja Sosial Perubatan. Kami telah diperkenalkan dengan Encik Azman, iaitu Pegawai Kerja Sosial di Jabatan ini.

Jabatan Kerja Sosial Perubatan ditubuhkan bertujuan untuk memberikan perkhidmatan kebajikan secara lengkap dan berkesan dalam rawatan pemulihan yang komprehensif kepada pesakit dan bertanggungjawab membantu memulihkan semula dan memaksimumkan kefungsian sosial pesakit-pesakit khususnya dalam bidang psikososial ( emosi, kewangan, komunikasi kekeluargaan, sokongan, jaringan dan sebagainya ) agar pesakit dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif dan berdikari sesuai dengan keupayaan yag disebabkan oleh penyakitnya.

Jabatan memiliki seramai 10 orang staf dengan enam daripadanya berpangkat pegawai. Pegawai Kerja Sosial Perubatan berperanan melaporkan kepada kakitangan perubatan mengenai keadaan / masalah sebenar yang dihadapi oleh pesakit, membantu pesakit memahami arahan yang diberikan oleh pihak perubatan dan menjadi perantara di antara pihak hospital dengan agensi-agensi komuniti / kebajikan luar.

Kes-kes yang dikendalikan di Jabatan ini memiliki banyak persamaan dengan kes-kes kendalian Unit Kaunseling ( Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental ). Malah, kami difahamkan bahawa kesemua pegawai di Jabatan Kerja Sosial Perubatan diwajibkan mengikuti kursus kaunselor bagi mengendalikan kes-kes seperti :

· Penjagaan pesakit kronik / paliatif

· Cubaan bunuh diri

· Perbalahan / keganasan rumah tangga

· Ibu tanpa nikah

· Mangsa perkosaan

· Penganiayaan / penderaan kanak-kanak

· Kes kurang upaya / cacat

· Penghidap HIV / AIDS

· Ketagihan

· Perlindungan wanita / gadis

Walau bagaimana pun, kami dimaklumkan bahawa majoriti kes yang dirujuk ke jabatan ini adalah melibatkan permohonan bantuan kewangan daripada pesakit yang kurang berkemampuan. Setiap bulan, Jabatan mengendalikan seramai lebih kurang 700 pesakit yang rata-rata ingin memohon bantuan kewangan bagi membiayai kos perubatan. Bantuan untuk rawatan hemodialisis adalah salah satu bentuk bantuan yang sering dipohon. Bagi tujuan ini, pihak Jabatan mendapatkan sokongan dan bantuan kewangan daripada pihak ketiga iaitu agensi-agensi kebajikan dan orang-orang perseorangan dalam bentuk derma dan zakat. Agensi-agensi seperti Yayasan Kebajikan Negara ( YKN ), Majlis Kanser Negara ( MAKNA ), Tabung Bantuan Perubatan Malaysia, Majlis Agama Islam Kelantan ( MAIK ) dan Jabatan Perkhidmatan Awam adalah antara penyumbang terbesar dalam membantu meringankan beban kewangan para pesakit yang kurang berkemampuan. Secara keseluruhan, sebanyak lebih RM 1.7 juta dikumpulkan setiap tahun dari agensi-agensi swasta dan kerajaan bagi tujuan tersebut.

Antara isu dan permasalahan utama yang dialami oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan adalah masalah kekurangan staf dan kekurangan dana kebajikan berikutan peningkatan berterusan permohonan dari pesakit yang memerlukan.

4.3 Hari Ketiga (19 Ogos 2009)

Pada sebelah pagi kami telah ke Jabatan Fisioterapi. Pada hari ini tidak ramai pesakit yang ada. Namun saya terserempak dengan bekas ketua jabatan saya yang menjalani rawatan disini iaitu Dato’ Kamarudin Awang.

Antara Visi Jabatan ini ialah menjadikan pusat perkhidmatan fisioterapi yang berkualiti, berteknologi tinggi danmenepati keperluan segenap lapisan masyarakat kearah meningkatkan kualiti hidup. Oleh sebab itu, antara misinya dalam mencapai visi tersebut ialah menyediakan perkhidmatan berkualiti, selamat, tepat, dan berkesan serta meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mencapai pemulihan optimum.

Mengikut pegawai yang menguruskan kami disini, banyak pesakit tidak berapa aktif dalam menjalani rawatan terutama rawatan-rawatan susulan. Ini kerana kesedaran dari pihak pesakit sendiri yang tidak mengambil endah selagi anggota badannya masih berfungsi. Sebab itulah jabatan ini telah meletakkan slogannya sebagai “kami membantu dan anda berusaha untuk pulih”. Ini bermakna usaha adalah dari pihak pesakit dan pihak hospital hanya membantu mereka untuk cepat sembuh.

Antara masalah yang paling utama disini ialah kekurangan ruang untuk menjalankan rawatan. Gimnasium yang sepatutnya lebih selesa adalah sangat sempit dan tidak sesuai dipanggil gymnasium. Memandangkan kegunaannya yang besar dan sangat signifikan bagi jabatan ini, maka pihak jabatan telah memohon untuk disediakan sebuah gymnasium namun sehingga hari ini permintaan mereka masih lagi tidak disempurnakan.

Pada sebelah petang kami melawat wad psikiatrik. Di Jabatan Psikiatri, staf bertugas adalah seramai lebih kurang 100 orang termasuk dua orang doktor pakar dan seorang doktor am. Objektif Jabatan Psikiatri adalah bagi membekalkan khidmat rawatan dan pemulihan psikiatri menyeluruh kepada masyarakat, berfungsi sebagai pusat rujukan kepakaran psikiatri dan berperanan sebagai pusat latihan pasca-siswazah sarjana psikiatri dan pusat penyelidikan psikiatri.

Di bawah Jabatan Psikiatri terdapat lima buah jabatan kecil atau unit iaitu Unit Klinikal, Unit Pulih Cara Kerja, Unit Anaesthesiologi, Unit E.C.T ( Elektro Convulsive Treatment ) dan Unit Kaunselor. Unit klinikal bagi pengurusan ubat-ubatan dan pesakit luar, Unit Pulih Cara Kerja bagi melatih pesakit berdikari melalui latihan kraftangan dan memasak, Unit Anestesiologi bagi tujuan pembiusan, Unit E.C.T bagi merawat pesakit melalui rangsangan arus elektrik dan Unit Kaunselor bagi bimbingan kaunseling ( rujuk Rajah 1 untuk aliran penerimaan / discaj pesakit ). Secara umum, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Psikiatri adalah berupa perkhidmatan pesakit luar dan komuniti iaitu lawatan ke rumah pesakit bagi tujuan rawatan.

Terdapat enam buah wad iatu empat buah bagi lelaki iaitu Wad A, D, E & F dan dua buah bagi wanita iaitu Wad B & C. Wad F adalah wad bagi pesakit lelaki yang stabil tetapi masih memerlukan kekangan dan pemerhatian rapi. Pesakit yang menghuni Wad F diletakkan dalam kurungan bagi mengelakkan mereka dari keluar merayau dan mengganggu orang ramai. Wad E pula adalah bagi pesakit lelaki yang stabil, sudah bertambah baik dan hanya menanti masa untuk keluar. Secara keseluruhan, terdapat 100 buah katil dan kesemuanya telah penuh dihuni pesakit. Jenis kemasukan ( admittance ) ke Jabatan Psikiatri secara umumnya terbahagi kepada empat jenis iaitu atas arahan polis, arahan mahkamah, rujukan klinik / hospital dan atas dasar sukarela.

Kami difahamkan bahawa masalah psikiatri adalah suatu masalah kesihatan mental yang amat sukar dipulihkan. Oleh yang demikian, rawatan yang disediakan hanya disasarkan kepada pengawalan kelakuan dan tindak-tanduk pesakit dan tidak lebih dari itu. Selain itu, Jabatan Psikiatri juga menyediakan program rawatan terapi gantian Methadone untuk penagih dadah berdaftar, bertujuan untuk membaiki kualiti hidup penagih melalui pengurangan ketagihan dan simptom pengunduran ( withdrawal symptoms ) serta tidur yang lebih baik. Masa terapi adalah antara jam 8.30 pagi sehingga 10.30 pagi, setiap hari selain Jumaat dan Sabtu. Jabatan Psikiatri sememangnya mengkhaskan waktu pagi bagi tujuan terapi Methadone dan saringan dadah manakala kes rujukan psikiatri dan pesakit luar akan diuruskan selepas 10.30 pagi sehingga 4.45 petang.

Isu dan permasalahan yang selalu timbul di jabatan ini adalah masalah kekurangan staf, masalah keengganan waris / keluarga pesakit untuk membawa pulang pesakit yang telah mendapat pelepasan ( gara-gara stigma masyarakat dan keadaan pesakit sendiri yang hanya berkeadaan baik semasa di dalam wad ) dan masalah mental kesan daripada penyalahgunaan dadah yang menampakkan peningkatan. Selain itu, terdapat juga rungutan dari pesakit yang kecewa dengan masa menunggu yang lama bagi mendapatkan rawatan pesakit luar dan pegawai perubatan yang tidak mesra / ceria. Masalah mendapatkan ubat-ubatan yang bertepatan juga turut ditimbulkan kerana jabatan dikatakan seringkali kesuntukan atau ketiadaan ubat yang diperlukan.

Rajah 1 : Carta alir penerimaan dan discaj pesakit

4.4 Hari Keempat (20 Ogos 2009)

Pada sebelah pagi kami mengunjungi Unit kaunseling. Ia terletak dibangunan wad psikiatrik. HRPZ II tidak memiliki Jabatan Kaunseling. Walau bagaimana pun, Unit Kaunseling di bawah Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengendalikan perkhidmatan kaunseling di hospital ini. Staf yang berkhidmat di unit ini hanya seramai dua orang sahaja yang berjawatan Kaunselor ( S41 ). Lawatan ke unit ini diadakan pada Khamis, 29 Januari 2009 dan penerangan berkaitan unit telah diberikan oleh Pegawai Psikologi ( Kaunselor ), Pn. Suriani Sidik.

Objektif utama Unit Kaunseling adalah untuk memberikan khidmat kaunseling kepada pesakit terutamanya bagi kes yang dirujuk oleh wad / klinik / hospital dari seluruh negeri Kelantan. Kes-kes yang dikendalikan adalah seperti berikut :

· Pergolakan keluarga dan rumah tangga ( kaunseling keluarga dan kaunseling perkahwinan )

· Keganasan rumah tangga

· Penderaan / penganiayaan kanak-kanak

· Ibu tanpa nikah

· Kaunseling sokongan kepada pengidap HIV / AIDS bagi pesakit dan keluarga.

· Perkembangan kanak-kanak ( kaunseling kanak-kanak )

· Kaunseling bagi kanak-kanak mangsa dera dan pengabaian ( abuse & neglect )

· Perkembangan remaja ( Kaunseling Remaja )

· Kes rogol, deraan seksual, liwat dan cabul

· Penyesuaian ke arah usia warga emas ( kaunseling warga emas )

· Kaunseling kakitangan

· Kemurungan, kesedihan dan kebimbangan

· Percubaan bunuh diri

· Ketagihan dadah, alkohol, rokok

· Kaunseling Rawatan Terapi Gantian Methadon

· Kaunseling kerjaya

· Kaunseling psikologi untuk pesakit barah / kanser

· Kaunseling Talasemia

· Kaunseling rehabilitasi untuk pesakit kecederaan spina korda ( lumpuh )

Kami dimaklumkan bahawa kes-kes utama yang dirujuk kepada Unit Kaunseling adalah berkaitan keganasan rumahtangga, rogol, dadah, percubaan bunuh diri dan kemurungan ( depression ) yang kebanyakannya berpunca daripada masalah rumahtangga. Purata umur pesakit adalah dalam lingkungan 20 ~ 30 tahun dan banyak melibatkan golongan remaja. Kes melibatkan remaja perempuan lebih berkaitan kes keganasan rumahtangga dan percubaan bunuh diri manakala remaja lelaki pula adalah kes melibatkan dadah. Lebih 90% pesakit hadir kerana dirujuk dan kurang 10% hadir atas dasar sukarela. Ini menunjukkan bahawa kadar kesedaran kesihatan mental ( mental health awareness ) di kalangan rakyat Malaysia masih rendah, di samping stigma masyarakat terhadap rawatan psikiatri yang masih menebal di negara ini.

Setiap hari Unit Kaunseling mengendalikan seramai empat hingga lima orang pesakit dan masa selama satu hingga satu setengah jam diperlukan bagi pengendalian setiap sesi bergantung kepada jenis kes. Pesakit diwajibkan hadir bagi sesi kaunseling “ follow up “ sekurang-kurangnya tiga kali secara berterusan dan kerap. Bagi memudahkan pesakit, Unit Kaunseling sentiasa memastikan pesakit tidak menunggu lama untuk berjumpa Kaunselor dan bagi tujuan yang sama, lawatan kaunseling ke wad-wad hospital, terus ke katil-katil pesakit, sering diadakan secara berkala.

Antara isu dan permasalahan yang dialami oleh Unit Kaunseling adalah masalah kekurangan staf, isu tiada bilik khas di wad hospital yang sesuai untuk sesi kaunseling dan isu persekitaran wad yang tidak kondusif untuk sesi kaunseling ( banyak gangguan, bising dan seumpamanya ).

Pada sebelah petangnya kami ke Jabatan Kecemasan dan Trauma. Di Jabatan Kemalangan & Kecemasan, kami telah diberi taklimat umum meliputi latar belakang, fungsi, peranan, tanggungjawab, permasalahan serta isu-isu semasa melibatkan jabatan. Terdapat enam jenis perkhidmatan terus yang disediakan oleh jabatan ini iaitu perkhidmatan kecemasan, pesakit luar ( 5 petang hingga 12 tgh/mlm bagi hari-hari biasa dan 8 pagi hingga 12 tgh/mlm bagi hari cuti dan kelepasan ), panggilan ambulans kecemasan, pasukan medik VIP, One Stop Crisis Center ( OSCC ) dan perkhidmatan Medical Emergency Coordinative Center. Kami difahamkan bahawa One Stop Crisis Center ( OSCC ) berfungsi membantu mangsa dera, rogol, liwat, keganasan rumahtangga dan seumpamanya untuk mendapatkan rawatan khas bercirikan perlindungan emosi manakala perkhidmatan Medical Emergency Coordinative Center merupakan sejenis perkhidmatan panggilan 999 bagi sambungan terus ke hospital dan yang dikendalikan di HRPZ II merupakan pusat yang ke 22 ditubuhkan dari 26 pusat yang ada di seluruh Malaysia.

Di sini juga terdapat tiga zon utama bagi penerimaan dan pengendalian pesakit iaitu Zon Merah, Zon Kuning dan Zon Hijau. Zon Merah dikhususkan bagi pesakit yang kritikal ( tenat ) dan memerlukan perhatian serta-merta ( masa tindakan antara 0 ~ 5 minit ), Zon Kuning adalah bagi pesakit yang berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil ( masa tindakan antara 15 ~ 30 minit ) dan Zon Hijau bagi pesakit yang stabil, untuk kes bukan kecemasan dan khusus bagi pesakit luar ( masa tindakan sehingga 90 minit ). Sebelum pesakit diasingkan kepada zon-zon tersebut, pesakit terlebih dahulu akan dirujuk kepada Zon Triage bagi urusan pendaftaran dan penentuan zon rawatan sama ada merah, kuning atau hijau. Di Zon Triage, terdapat apa yang dipanggil sebagai “ Secondary Triage “ iaitu satu bilik khas yang digunakan bagi tujuan menenangkan serta memeriksa pesakit yang baru tiba.

Pesakit yang telah menerima rawatan di zon-zon berkenaan dan telah berada dalam keadaan stabil akan dihantar ke Wad Kecemasan bagi tujuan pemerhatian. Wad Kecemasan / Pemerhatian di HRPZ II mampu mengendalikan sehingga lapan orang pesakit pada satu-satu masa ( berstatus pesakit luar ). Tempoh pemerhatian hanyalah sehingga 24 jam sahaja dan pesakit akan dilepaskan serta-merta setelah itu.

Pada setiap syif, seramai empat orang Pegawai Perubatan ( Doktor ) akan bertugas, disokong dan dibantu oleh 10 orang Pembantu Pegawai Perubatan ( M.A ), 3 - 4 orang jururawat dan 6 - 8 orang pemandu. Di jabatan ini, Pembantu Pegawai Perubatan diwajibkan untuk berkhidmat paling minima selama 6 bulan.

Kemudian, kami dibawa melawat satu bilik khas iaitu bilik Medical Emergency Coordinative Center ( MECC ) yang berfungsi sebagai pusat interaksi kecemasan yang meliputi seluruh Malaysia. Pusat ini dikendalikan oleh empat orang petugas berstatus Pembantu Pegawai Perubatan dan meliputi kawasan sejauh Besut di Terengganu, Gerik di Perak dan Kuala Lipis di Pahang. Standard masa tindakan / respon adalah 30 minit bagi 5 kilometer radius. Selain itu, di sini juga dilengkapi dengan sistem Government Integrated Radio Network ( GIRN ) yang meliputi seluruh Malaysia yang mampu menghubungkan agensi-agensi penyelamat di negara ini. Setelah itu, kami telah dibawa melawat ke wad-wad berdekatan dengan diiringi oleh Ketua Jururawat bagi menyaksikan sendiri keadaan pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan.

Berkenaan dengan isu dan permasalahan yang dialami oleh Jabatan ini, didapati masalah kekurangan kakitangan dan ambulans adalah masalah yang paling utama, diikuti rungutan pesakit khususnya pesakit luar yang tidak berpuas hati dengan masa menunggu yang terlampau lama.

4.5 Hari Kelima (21 Ogos 2009)

Memandangkan hari bukanlah hari bekerja. Ini bermakna klinik kesihatan Bandar tidak beroperasi maka kami sekali lagi mengambil keputusan untuk meninjau bahagian kecemasan sekali lagi kerana kami menjangkakan bahagian ini akan penuh bila hari cuti. Sebagaimana yang kami jangkakan, bahagian ini sangat ramai terutama di zon hijau yang kebanyakannya ingin membuat rawatan yang berkaitan H1N1. Dilihat bahagian ini sangat sibuk dan tidak dapat mengikuti standard perkhidmatan yang dijanjikan.

Kami juga perasan bahawa pihak sekuriti tidak begitu memainkan peranan sebagaimana hari biasa. Ini kerana apabila hari cuti maka mereka merasakan tiada pemantauan dari pihak pentadbiran. Seboleh-bolehnya masalah ini dapat diatasi memandangkan kecuaian pihak sekuriti menyebabkan kesesakan dikawasan meletak kenderaan dan tepi jalan raya.

5.0 REFLEKSI DIRI DAN PENUTUP

Alhamdulillah, setelah lima hari berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II ) banyak mendedahkan saya kepada banyak perkara baru yang menarik, darihal selok-belok pentadbiran hospital, ilmu berkaitan bidang perubatan, sehinggalah kepada pelbagai perihal yang menyentuh aspek kemanusiaan.

Sesungguhnya banyak lagi perkara kami tidak mengetahui sebelum ini tentang selok belok hospital. Sebelum ini saya hanya pandai merungut dan sering mengkritik perkhidmatan perubatan terutama ketika mendapat rawatan dibahagian kecemasan pada hari cuti sedangkan sebenarnya saya tidak mengatahui pun bagaimana penat lelahnya kakitangan dibahagian tersebut melayan pesakit pada hari cuti. Lebih-lebih dalam keadaan kekurangan staf, peralatan ( ambulans ) dan ruang kerja yang terhad. Mereka bertungkus lumus menjalankan tugas. Kebanyakan daripada kita sebenarnya tidak memahami hakikat sebenar di mana para pegawai perubatan terpaksa meninggalkan klinik pesakit luar bagi menangani kes-kes kecemasan yang muncul tidak menentu, Dalam hal ini, saya memuji sikap kakitangan perubatan di Jabatan ini kerana terus bersabar dan tetap menjalankan tugas mereka dengan baik dan sedaya upaya biar pun tohmahan dari pesakit tetap bertali arus.

Lawatan ke Jabatan Kerja Sosial dan Perubatan pula mendedahkan saya kepada hakikat sebenar betapa ramainya anggota masyarakat yang memerlukan sokongan dan bantuan dari segi kewangan bagi menampung kos perubatan. Bukan sahaja golongan berpendapatan rendah yang memohon bantuan, malah terdapat ramai golongan pertengahan yang umumnya berkemampuan tetapi menjadi sebaliknya apabila terpaksa berterusan menerima rawatan ( seperti kes hemodialisis ). Walaupun fungsi jabatan tersebut bukanlah semata-mata untuk mengendalikan bantuan sedemikian, namun memandangkan majoriti kes yang diterima melibatkan masalah kewangan, pihak jabatan kini terpaksa menumpukan sepenuh masa dan tenaga bagi menyelesaikannya. Dengan peningkatan kos perubatan sejak akhir-akhir ini, dijangkakan lebih ramai lagi yang akan memohon bantuan melalui Jabatan Kerja Sosial dan Perubatan.

Lawatan seterusnya ke Wad Paliatif memberikan impak yang berbeza kepada saya. Satu lawatan yang saya anggap banyak memberi kesedaran dan pada masa yang sama amat memilukan. Banyak mengajar akan hakikat hidup yang sebenar..

Berada di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental ( yang turut menempatkan Unit Kaunseling ) adalah pengalaman yang paling membuka mata hati dan minda. Sekali-sekala tersenyum melihat telatah pesakit tetapi jauh di sudut hati berasa begitu bersyukur kerana masih dikekalkan dengan nikmat kewarasan akal. Selama ini saya melihat Jabatan Psikiatri dan Unit Kaunseling melalui kaca mata stereotaip, jumud, penuh stigma yang adakalanya berbaur prejudis. Kini, setelah menyaksikannya sendiri, saya berasa begitu insaf malah berasa kagum dengan usaha dan kesabaran yang ditunjukkan oleh staf-staf perubatan di sini. Sememangnya kerjaya sebagai staf perubatan, sekiranya dimulakan dengan niat yang murni, adalah satu profesion yang sangat mulia.

Semoga aktiviti seperti ini akan dapat dilaksanakan lagi dan meliputi semua Jabatan. Kami faham bahawa kami tidak dibenarkan berinteraksi secara terus dengan pesakit pada musim serangan H1N1 seperti ini. Diharapkan dimasa yang lain, setelah serangan virus ini tidak lagi membahayakan, kami dapat meluangkan masa kesini lagi setidak pun kami dapat memberi sumbangan melalui Jabatan Kerja sosial.