Isnin, 12 September 2011

BENARKAH KITA TELAH MERDEKA???


Pejuang, Pengkhianat, Penjajah; Tiga perkataan diatas telah berlegar dalam fikiran rakyat Malaysia sejak beberapa minggu yang lalu. Saya tidaklah memberi penumpuan sangat pada perbahasan di akhbar serta ulasan atau mungkin lebih tepat lagi hasutan yang ada di televisyen. Namun apabila keluarnya  GELARAN baru kepada penjajah Inggeris iaitu PELINDUNG DAN PENAUNG hasil 'kerja' daripada ‘pasukan’ MPN yang diwakili oleh Prof Zainal Kling, terdetik difikiran saya, betapa teruknya cendikiawan kita. sanggup diperguna demi menyelamatkan pemerintah sedangkan dia sendiri sedar, kenyataannya itu adalah salah dan tidak dapat diterima oleh semua yang mumayyiz dari pelajar kelas Tadika Kemas hinggalah pelajar-pelajar universiti.

            Semasa saya ingin menulis post ini, saya pun keliru kerana tidak tahu bagaimana hendak menamakan orang British yang datang ke Negara kita pada zaman sebelum merdeka dahulu. Kalau negara kita tidak  pernah dijajah tentunya panggilan kepada mereka bukanlah penjajah. jika benar Negara kita dilindungi dan dinaungi Inggeris pada masa itu, maka orang putih tu tentulah kita panggil mereka ‘pelindung atau penaung’…apa yang pasti, memang kekok hendak memanggil membahasakan mereka sebegitu kerana kita telah diajar oleh nenek moyang kita, guru-guru kita bahawasanya mereka (Inggeris) itu adalah penjajah bahkan sesetegah orang tua masih lagi memanggil bahasa Inggeris itu sebagai bahasa ‘penjajah!!!!’.

“Cut Of Date”

Adakah Dol Said, Datuk Siamang Gagap, Yamtuan Tunku Antah, Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Raja Mahadi, Haji Abdul Rahman Limbong, Rentap, Sharif Mashor, Mat Salleh, Roslie Dhoby yang terkorban ingin dikatakan pengkhianat kerana mereka  berjuang menentang Inggeris yang mana Inggeris adalah sebenarnya pelindung dan penaung Tanah Melayu sebagaimana kata Prof Zainal? Negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Sebelum 1957, apapun gelaran yang diberi kepada Inggeris, hakikatnya kita tidak mempunyai pentadbiran sendiri tetapi dibawah kerajaan Britain. Cuma di sesetengah kawasan, British mengupah orang melayu menjadi pegawai mereka sama ada sebagai Pegawai Daerah mahupun sebagai Anggota Keselamatan termasuk di Bukit Kepong. Sebagai contoh, Tok Janggut menentang Encik Latiff yang dilantik British untuk memerintah dan mengutip cukai di Jeram. Penentangan yang dibuat Tok Janggut hingga akhirnya mengorbankan seorang Polis berbangsa Melayu bernama Sarjan Sulaiman. Kenapa Tok Janggut tetap dianggap wira orang Melayu? kerana British adalah penjajah ketika itu dan menentang British walaupun terpaksa membunuh polis melayu adalah satu kemuliaan dan disanjung sebagai wira. tidak timbul disini Tok Janggut membunuh Polis melayu kerana yang sebenarnya ialah membunuh polis yang bekerja untuk penjajah.

Undang-Undang Sebagai Tulang Belakang Pemerintahan

Perkara yang sedia kita maklumi bahawa untuk mentadbir sesebuah Negara perlukan undang-undang. Tanpa undang-undang sesebuah Negara tidak dapat berjalan dengan baik bahkan akan mengalami huru-hara. Bagaimana sesebuah Negara itu dipandu berdasarkan bagaimana acuan undang-undangnya. Betul Tunku Abdul Rahman telah melaungkan kalimah ‘merdeka’ pada tanggal 31 Ogos 1957 (yang sepatutnya tidak dilaungkan kerana kita tidak ‘dijajah’) namun adakah kita masih lagi terikat dengan penjajah dalam menentukan undang-undang Negara sendiri? British sebelum meninggalkan Negara ini telah melakukan sesuatu untuk mempastikan Negara kita tidak betul-betul merdeka dan masih memerlukan mereka atau terikat dengan mereka dalam membuat sesuatu keputusan dan undang-undang.

Seksyen 3(1) dan Seksyen 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 telah meminta penggunaan ‘English Common law’, ‘Rule of Equity’ dan statut-statut yang ada di England bagi kes-kes sivil yang tiada undang-undang digubal (wujud lacuna) dinegara ini. Begitu juga dengan seksyen 5 Kanun Prosidur Jenayah  yang mana membenarkan penggunaan ‘common law’ Inggeris jika wujud lacuna dalam perundangan kita. perkara seperti ini seolah-olah menunjukkan bahawa Negara kita masih dijajah oleh Inggeris dan tidak akan dilepaskan selama-lamanya sedangkan pihak Judiciary sendiri mencadangkan agar rujukan kepada undang-undang Inggeris ini dihapuskan memandangkan Negara kita dikatakan telah merdeka sudah separuh abad. Sepatutnya rujukan kepada ‘English Common Law’ dan peraturan-peraturan ekuiti yang dipusaka kan daripada Inggeris digantikan dengan undang-undang Syariah Islam memandangkan kita adalah Negara Islam dan mempunyai kemahiran perundangan yang tidak boleh diperlekehkan. Lagipun, undang – undang Inggeris yang dibenarkan dirujuk hanyalah undang-undang sebelum 7 April 1956. maka kita hanya boleh membuat rujukan dan mengambil autoriti daripada kes-kes sebelum tarikh tersebut. kes-kes yang diputuskan di England selepas tarikh tersebut tidak boleh dibuat rujukan. Maka apa faedahnya kita beria-ia merujuk undang-undang lapuk dan meninggalkan apa yang kita ada iaitu undang-undang daripada Al-Quran dan As-sunnah kita yakin serta percaya ia tidak akan menjadi barang lapok.

Rujukan kepada Privy Council (Majlis Rahsia)

Ini satu lagi perkara yang bagi saya betul-betul melambangkan kita pernah terjajah dan masih dijajah walaupun selepas 31 Ogos 1957. Rayuan kepada Majlis Privy di London dibenarkan oleh  Perkara 131 Perlembagaan Persekutuan. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim Negara kita tidak muktamad setakat Mahkamah Agong (kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan) sahaja. bahkan ia boleh dirayu sehingga ke London. Rayuan ini berlandaskan satu perjanjian antara Yang Dipertuan Agong dengan Queen England pada 4 Mac 1958. semestinya pada mata kasar ahli intelektual memandang peristiwa ini tidak melambangkan kemerdekaan Negara kita. ini masih melambangkan penjajahan. seolah-olah hakim Negara kita belum cukup mahir dan tidak berupaya memberi keadilan kepada orang yang hadir dihadapannya. Jika kita telah merdeka atau ‘tidak pernah dijajah’ kenapa perlunya kita mendatangani perjanjian seperti ini? Kenapa perlu kita memberi hak bekas penjajah untuk memberi keputusan muktamad kepada kita? bolehkah kita menjamin ‘kata akhir’ yang diberikan oleh Majlis Privy itu adalah seadil-adilnya? apakah muslihat sebenarnya Inggeris meminta kita merujuk mereka sebagai kata pemutus? tentulah kerana ingin menyatakan kepada kita bahawa kita pernah dijajah dan masih dijajah sehinggalah perkara 131 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rayuan kesana dimansuhkan berkuatkuasa 1 Januari 1985. jika Prof Zainal kata kita hanya dijajah selama 2 tahun semasa Malayan Union dan Jepun maka saya ingin menyatakan bahawa kita hanya merdeka pada tahun 1985.   

1 ulasan:

  1. Sesudah lima dekad barulah
    professa arus perdana kata
    negara tidak pernah dijajah.
    Oh, lama sungguh kajiannya.

    Memetik wall fb A. Samad Said.

    BalasPadam