Khamis, 5 November 2009

Latihan Dalam Kumpulan BTN

LDK 1 (Ice Breaking)

Setelah dua hari mengikuti empat slot pembentangan kertas kerja iaitu Tanah Air, Kerajaan, Rakyat dan Kedaulatan maka tiba pula aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang kami kira lebih menjurus kepada perbincangan yang lebih terperinci dan konklusif bagi memahami secara mendalam huraian-huraian ceramah yang diadakan.

Namun dalam LDK pertama ini kami telah melakukan aktiviti secara kumpulan yang besar iaitu melibatkan semua peserta kursus. Ia lebih kepada suai kenal antara kami dan semua fasilitator yang ada. Kami diminta mencipta berbagai-bagai jenis tepuk seperti tepuk sekali, tepuk gembira dan tepukan gemuruh dan paling menarik ialah tepuk cara jin sebagaimana cerita Ahmad Albab lakonan Tan Sri P.Ramlee.

Banyak lagi aktiviti yang dijalankan yang bertujuan mengeratkan hubungan antara para peserta keseluruhan dengan pihak Fasilitator sebagai persediaan untuk kami berbincang apabila dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan-kumpulan kecil. Apabila aktiviti sebegini dibuat membuatkan kami tidak kekok untuk berinteraksi dengan para fasilitator yang sangat profesional pengendaliannya.

LKD 2 (Taaruf)

Dalam slot LDK yang kedua ini kami telah bertaaruf. Dalam aktiviti LDK ini kami telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Taaruf ertinya berkenal-kenalan. Objektif utama aktiviti ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menjadikan kami kenal-mengenali diantara satu sama lain. Taaruf yang kami jalankan dalam sesi ini lebih kepada mengenali bukan sahaja perkara yang bersifat luaran seperti nama, tempat tinggal dan bilangan adik-beradik seperti biasa tetapi ia lebih kepada mengenali perkara yang kadang-kadang kita sendiri pun tidak kenali diri kita. Taaruf ini dibuat dalam bentuk ice breaking dan kami diminta menyatakan kelebihan diri masing-masing. Ada peserta yang mempunyai kelebihan memasak, melakukan aktiviti extrem dan ada yang mempunyai kelebihan pandai menari pelbagai jenis tarian seperti tarian joget, disco dan kuda kepang.

Selepas itu kami diminta oleh tuan fasilitator untuk menentukan bentuk simbol masing-masing sama ada bentuk bulat, petak empat segi tepat, segitiga dan juga garisan yang berbentuk ombak. Simbol yang dipilih itu hendaklah menggambarkan sifat-sifat yang ada dalam diri masing-masing. Maka kami diberi peluang memikirkan bentuk pilihan kami dan dalam masa yang sama ia membuatkan kami berfikir apakah sifat-sifat yang ada pada diri kami ini. Ia seakan proses muhasabah secara tidak langsung kerana semasa inilah kita menyedari kita mempunyai sifat-sifat yang tertentu yang kita sendiri tidak menyedari tentang kewujudannya. Sememangnya ia membuatkan kami sedar tentang kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri kami semua.

Tidak sebagaimana yang dijangka, semasa sesi perbentangan, kami ingatkan akan membentangkan kenapa kami memilih bentuk-bentuk tertentu tetapi kami terpaksa menerangkan kenapa kami tidak memilih simbol-simbol yang lain.

Fasilitator menerangkan bahawa simbol yang kita tidak pilih itulah merupakan perwatakan kita yang sebenar. Maka fasilitator meminta kami memilih pula salah satu dari simbol-simbol yang tidak dipilih dari awal tadi sebagai mewakili watak diri masing-masing.

Setelah kami memilih simbol-simbol itu maka Fasilitator kemudiannya menerangkan kepada kami satu persatu maksud simbol-simbol itu sebagaimana berikut :

1) Bulat

Ia bermaksud atau menggambarkan : sukakan keharmonian, mahir berkomunikasi, selesa bergaul, mempunyai ramai kawan, dan memahami orang lain

2) Petak Empat Segi Tepat

Ia bermaksud atau menggambarkan : seseorang yang berfikiran logikal, sentiasa fokus, bekerja berdasarkan matlamat dan sentiasa menetapkan matlamat, sangat terperinci, berdisiplin dan sentiasa rasional.




3) Segitiga Tepat

Ia bermaksud atau menggambarkan : seseorang yang mempunyai matlamat yang jelas, berwawasan, bercita-cita tinggi, bersungguh-sungguh dalam berusaha, namun sanggup meninggalkan kawan untuk mencapai matlamat.

4) Bentuk Ombak

Ia bermaksud atau menggambarkan : Seseorang yang mempunyai berbagai-bagai minat, sangat fleksible dengan keadaan yang ada, serba boleh dan berkemahiran yang pelbagai, tidak begitu menyukai kerja-kerja atau aktiviti-aktiviti rutin, sangat menyukai kebebasan dan tidak begitu gemar jika dirinya dikawal.

Setelah diberi penerangan secara terperinci oleh fasilitator, semua ahli kumpulan berpuas hati dengan aktiviti yang dilakukan kerana ia telah sedikit sebanyak telah membuka mata kami serta menyedarkan kami tentang potensi masing-masing.

LDK 3 ( Aku Tahu & Siapa Saya )

Latihan Dalam Kumpulan pada kali ini bertajuk ‘Aku Tahu dan Siapa Saya’. Ia merangkumi 2 aktiviti. Dalam aktiviti pertama kami dibekalkan dengan sejumlah 25 soalan untuk dijawab. 25 soalan ini adalah berkaitan dengan perlembagaan Malaysia. ‘

Ia bertujuan untuk mengetahui tahap pengetahuan para peserta berkenaan dengan pelembagaan negara mereka sendiri. Dengan menjawab soalan sebegini peserta sendiri dapat mengukur sejauh mana pengetahuan masing-masing mengenai perlembagaan. Kemudian Fasilitator mengambil kembali soalan serta jawapan daripada kami tanpa membincangkannya. Kenapa tidak dibincangkan? Kerana ianya bukanlah suatu ujian atau latihan tetapi hanya semata-mata untuk mengetahui tahap pengetahuan masing-masing. Sesungguhnya aktiviti ini memberi kami para peserta kesedaran betapa ceteknya pengetahuan kami mengenai perlembagaan negara sendiri yang sepatutnya kami pertahankan. Ia juga memberi semangat kepada kami untuk meneruskan dengan LDK-LDK yang lain dengan tujuan membaiki pengetahuan kami agar kami mempunyai pengetahuan yang jelas tentang perlembagaan itu sendiri. Dengan adanya kesedaran sebegini ia memberi semangat kepada kami para peserta untuk meletakkan sasaran bahawa selepas tamatnya latihan sepanjang minggu ini kami akan dapat menjawab kesemua soalan yang diberikan tadi.

Aktiviti kedua ialah ‘siapa saya’ yang mana prosesnya adalah sama dengan aktiviti pertama tadi. Namun pada kali ini kami diberi 5 soalan dan jawapannya dibincangkan bersama.

Sesungguhnya banyak kebaikan bila aktiviti dalam LDK 3 ini dibuat diawal LDK seperti ini kerana ia memeberi gambaran kepada peserta tentang tahap kefahaman mereka tentang perlembagaan seterusnya membolehkan mereka meletakkan sasaran apa yang ingin mereka capai diakhir kursus ini.

LDK 4 (Rumah Pusaka)

Tajuk LDK yang keempat ialah Rumah Pusaka. Dalam aktiviti ini kami diberi arahan supaya membuat lakaran plan rumah bagi 3 keluarga. 3 Rumah ini mestilah bercantum dengan rumah asal yang menjadi pusaka. Kami dibenarkan mengguanakan rumah pusaka itu untuk dijadikan mana-mana bahagian sama ada dapur, ruang tamu, atau bilik air. Kebanyakan daripada kami menjadikannya ruang tamu yang boleh digunakan oleh ketiga-tiga keluarga.

Selepas daripada itu kami diarahkan untuk membahagikan harta pusaka sebanyak RM100 ribu kepada ketiga-tiga keluarga tersebut. Setiap ahli keluarga mempunyai hak terhadap harta tersebut serta amat memerlukannya. 3 keluarga itu dibahagikan kepada keluarga A, Keluarga B dan keluarga C. Keluarga A mempunyai 10 orang anak, keluarga B mempunyai 5 orang anak dan keluarga C mempunyai 3 orang anak. Setelah aktiviti dibuat dengan berbagai-bagai cadangan diberikan maka dipenghujungnya fasilitator menyatakan sepatutnya harta itu dibahagikan mengikut keperluan.perkara yang harus diingat ialah setiap ahli keluarga mempunyai hak terhadap harta tersebut.maka keluarga besar mestilah diberi jumlah yang besar manakala keluarga yang kecil diberi peruntukan lebih kecil dari keluarga lain. Maka barulah adil kerana setiap orang dapat merasakan berdasarkan keperluannya.

Kesimpulan yang diberikan dalam LDK ini ialah kekeyaan negara perlu dibahagikan mengikut keperluan sesuatu kaum. Kita tidak boleh menuntut jumlah yang sama bagi semua kaum. Kaum Melayu yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai mestilah diperuntukan hak dan keistimewaan yang lebih dari kaum lain.

LDK 5 (36 sen dan Buang Peranan)

Dalam LDK ke lima ini kami diarahkan untuk membuat 4 petak segi empat. Setiap kotak ditandakan sebagaimana berikut:

NEGARA AGAMA

DIRI SENDIRI BANGSA


Kemudian kami dibekalkan dengan 1keping duit 1 sen, sekeping syiling 5 sen, sekeping syiling 10 sen dan sekeping 20 sen. Kami diminta meletakkan syiling-syiling itu dipetak mengikut keutamaan kami.

Kami juga diminta memilih mengikut keutamaan dalam perkara-perkara berikut seperti politik, ekonomi, pendidikan dan sosial. Kita hendaklah menerangkan mengapa kita memilih perkara tersebut. Adakah dengan memilih perkara tersebut ia menjamin perkara-perkara yang lain juga terpelihara? Fasilitator meminta kami memikirkannya dan menyiapkan hujah-hujah tersebut pada sesi refleksi dalam LDK yang seterusnya.

LKD 6 (Refleksi)

Sesungguhnya membuat pilihan itu sangat mengelirukan. Kami tidak pasti sama ada betul atau tidak pilihan yang dibuat. Kalau kami memilih Negara dan Pendidikan adakah kami pasti agama, bangsa dan diri kami terpelihara? Bolehkah pendidikan mencorak kepimpinan politik kami atau bolehkah pendidikan boleh memartabatkan bangsa kami? Jika kami memilih Agama dan Politik, pastikah kita yang penganut-penganut agama yang memerintah itu akan memelihara agama lain dalam negara yang majmuk ini?

Sangat mengelirukan.

Akhirnya fasilitator membuat konklusi yang membolehkan kami lebih jelas tentang perjuangan dan peranan kami iaitu kita seharusnya memilih Negara dan Kekuasaan Politik. Cuba bayangkan jika sesebuah kerajaan itu tiada negaranya.adakah ia akan menjadi aman?kita boleh tengok contoh yang ada pada zaman ini iaitu di Palestin apabila kerajaannya tidak berdaulat atau negaranya tidak diiktiraf.rakyatnya menjadi kucar-kacir, agama mereka tidak boleh diamalkan dengan sempurna, kanak-kanak tidak mendapat pendidikan yang sempurna dan sosial budaya mereka terabai. Sebab itulah kita perlu mendaulatkan negara kira.kita tidakboleh mementingkan diri, bangsa dan agama kita sahaja tanpa bernegara. Begitu juga dengan politik.untuk memastikan sesebuah negara itu stabil maka kerajaan mesti mempunyai kuasa politik yang kuat. Apa guna ada negara jika kita tidak dapat memerintah. Ingatkah kita nasib negara kita ketika dijajah. Disebabkan negara dijajah dan kita tidak mempunyai kuasa politik maka dengan sendirinya rakyat negara kita menjadi mundur dan tidak bertamadun.

Oleh itu, sebagai orang Melayu kita seharusnya memastikan kedaulatan negara kita dengan tidak membenarkan anasir-anasir luar mengancam ketenteraman negara kita serta memerintah negara kita melalui proksi-proksi mereka yang juga bertopengkan wajah melayu. Orang melayu seharusnya berjuang untuk memastikan bangsa melayu dan agama islam serta kebudayaan kita terpelihara dengan memastikan penerusan kekuasaan politik melayu keatas tanah air kita yang tercinta ini. Benarlah kata-kata Hang Tuah, Laksamana melayu yang sangat terkenal “tidak melyu hilang di dunia”.

LKD 7 (Binggo & Petak 36)

Aktiviti dalam LDK kali ini sangat mudah. Kami dipecahkan kepada dua kumpulan, kumpulan A dan B. Hanya memerlukan kami meletakkan tanda bagi kumpulan kami sehingga kami dapat membuat garisan lurus. Kita juga mesti menghalang pasukan satu lagi dari berjaya membuat garisan. Sesiapa yang berjaya mencapai binggo, maka pasukan itu akan menang.

Pada mulanya kami bersungguh menghalang pasukan lawan dan berusaha memenangkan kumpulan sendiri. Akhir sekali semua pasukan tidak dapat mencapat matlamat. Kami menghadapi jalan buntu.

Setelah itu, fasilitator memulakan semula permainan ini tanpa dikenakan sebarang peraturan. Maka kami berbincang dengan pasukan satu lagi untuk tidak mementingkan diri sendiri dan membenarkan pasukan masing-masing berjaya membuat binggo. Akhirnya kedua-dua pasukan berjaya membuat garisan yang dikehendaki dengan mudah kerana masing-masing bertoleransi dan bekerjasama.

Fasilitator menerangkan objektif aktiviti ini diadakan ialah semata-mata hendak memberi kesedaran kepada kita tanpa perpaduan dan toleransi sesama rakyat dalam negara berbilang kaum ini maka negara kita tidak akan maju dan berjaya. Sebab itulah Perdana Menteri kita Dato’ Seri Najib Tun Razak melancarkan gagasan 1Malaysia yang menyatupadukan seluruh rakyat malaysia agar mereka hidup aman harmoni tanpa ada prejudis kaum. Dibawah Satu Malaysia, kita mengamalkan kesaksamaan dan kesamarataan dikalangan rakyat Malaysia. Dengan adanya gagasan Satu malaysia ini maka tiada lagi pihak yang boleh mengkelaskan mana-mana lagi golongan dalam warganegara Malaysia ini sebagai warganegara kelas kedua. Semua golongan yang memerlukan tidak kira apa bangsa akan di bantu dan diberi pertolongan sebagaimana yang telah digariskan dalam perlembagaan Malaysia.

LDK 8 (Ulasan Keseluruhan)

Latihan Dalam Kumpulan kali ini lebih kepada penerangan dan ulasan. Tiada aktiviti khusus yang dijalankan. Fasilitator memberi syarahan mini dalam menerangkan secara umum konsep dalam Perlembagaan malaysia, Sejarah penubuhan Malaysia dan kemerdekaannya dan hak istimewa orang melayu.

Raja-raja melayu dilindungi oleh perlembagaan sebagai raja berpelembagaan sebagaimana termaktub dalam perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan majlis raja-raja sebagaimana Perkara 159(5) Perlembagaan. Manakala Perkara 38(4) selanjutnya menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis raja-raja. Maka dengan demikian amatlah mustahil bahawa persetujuan seumpama itu akan diberikan.

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai banyak agama. Rakyat-rakyat di negara ini mengamalkan agama-agama yang berlainan seperti agama islam, Hindu, Buddha, Kristian dan kepercayaan lain. Orang melayu hanya menganut satu agama iaitu Islam. Adalah asing kepada orang melayu jika bukan beragama Islam. Mengaitkan agama secara sepenuhnya dengan bangsa adalah asas kepada fikiran orang melayu sehingga agama Islam telah menjadi suatu unsur yang penting dalam definisi melayu menurut undang-undang dan perlembagaan. Perkara 160 mentakrifkan seseorang melayu sebagai seorang yang beragama Islam, lazim bercakap bahasa melayu dan menurut adat istiadat melayu. Maka disebabkan negara ini penduduk asalnya orang melayu maka perkara 3 perlembagaan menetapkan bahawa agama Islam merupakan agama rasmi persekutuan. Tetapi perkara 3 juga memperuntukkan fasal imbangan yang menyebut “agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian dalam persekutuan”.

Perlembagaan Negara juga meletakkan bahasa melayu sebagai unsur tradisi. Ini kerana sebelum Perang Dunia Kedua dalam kebanyakan negeri melayu, terutama bekas negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor, Bahasa Melayu digunakan dengan meluasnya untuk tujuan rasmi seperti dalam mesyuarat, surat-menyurat dan penulisan minit. Namun selepas perang, berlaku penghakisan sedikit demi sedikit penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi.maka atas dasar memartabatkan bahasa melayu yang merupakan bahasa asal pemerintahan Tanah melayu ia telah diabadikan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa persekutuan atau bahasa rasmi kebangsaan. Hepotisis utama disebalik meluluskan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan memenuhi keperluan untuk menyatupadukan pelbagai kaum kearah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama, iaitu bahasa melayu yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini begitu lama. Fikiran ini dibayangkan oleh dasar Pelajaran Kebangsaan didalam Laporan Razak 1956 dan Laporan rahman talib 1960. ia menekankan bahasa malaysia sebagai bahasa pengantar yang utama dan akta Pelajaran 1961 melaksanakan dasar itu serta melahirkan keunggulannya.

Perkara 153 Perlembagaan persekutuan memberikan tanggungjawab yang besar kepada Yang Dipertuan Agong untuk memelihara kedudukan Istimewa orang melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain.

Walaupun kedudukan istimewa diberikan kepada orang melayu namun kaum pendatang tetap menikmati hak-hak sebagai warganegara. Inilah perkara terbesar yang dibuat oleh raja-raja melayu dengan membenarkan pendatang diiktiraf sebagai warganegara. Apabila warganera diberikan kepada mereka maka semua perkara hendaklah dikongsi bersama sedangkan negara ini asalnya milik orang melayu. Sepatutnya bangsa lain sangat berterima kasih kepada orang melayu yang mengorbankan hak-hak mereka untuk dikongsi dan bukannya mereka menuntut hak yang lebih lagi selain yang diberikan oleh perlembagaan.

LDK 9 (Pengukuhan)

LDK terakhir ini dijalankan lebih kepada acara santai tetapi dalam masa yang sama banyak membangkitkan rasa patriotisme dan sayangkan negara dalam diri para peserta. Kami diminta membuat persembahan dengan menyanyikan lagu-lagu patriotisme dan membuat permainan mengumpulkan batu yang berbagai-bagai saiz kepada satu saiz. Permaianan ini amat susah jika tiada kerjasama. Apa yang ingin di tekankan oleh fasilitator dalam aktiviti kali ini apa jua keadaan dan situasi, kerjasama dan persefahaman adalah utama. Tanpa persefahaman, rakyat tidak akan dapat hidup secara harmoni dan aman dalam negara yang mempunyai berbilang-bilang bangsa dan agama seperti Malaysia. Diakhir aktiviti, fasilitator semua membuat konklusi mereka diatas apa yang dijalankan selama seminggu ini. Diharap apa yang dikutip dalam pengalaman mengikuti kursus ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan.

Penutup

Kejayaan Malaysia amat bergantung kepada kebijaksanaan dalam mengimbangi dua hal iaitu, kedudukan istimewa orang melayu dan kepentingan sah kaum lain. Keseimbangan ini bergantung pula kepada kesepakatan dan toleransi yang tinggi. Jika keseimbangan ini diganggu, kestabilan politik akan tergugat. Ia boleh mengancam kesepakatan serta keazaman tersebut dan akibatnya kekacauan dalam negara mungkin berlaku. Rekod 50 tahun lebih semenjak merdeka memberikan rakyat keyakinan bahawa pemimpin-pemimpin negara telah matang dalam politik dan mempunyai kemampuan untuk memimpin negara ini kearah kestabilan dan kemakmuran untuk generasi-generasi akan datang.

1 ulasan:

  1. salam sahabat..bolehkah jika saya menggunakan modul ini di dalam program saya??

    BalasPadam