Khamis, 5 November 2009

PERKARA 152 BAHASA KEBANGSAAN : PADA PANDANGAN ANDA ADAKAH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA MASIH RELEVEN DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU. BINCANGKAN.

TAJUK :

PERKARA 152 BAHASA KEBANGSAAN : PADA PANDANGAN ANDA ADAKAH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA MASIH RELEVEN DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU. BINCANGKAN.

LATAR BELAKANG

Penulisan kali ini bertujuan untuk membincangkan kerelevenan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memartabatkan bahasa melayu. Sesungguhnya Bahasa melayu merupakan bahasa Tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka. Bahasa Melayu secara khusus ialah salah satu dialek daripada beratus dialek lain yang terdapat di Nusantara (alam Melayu). Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sama ada di Indonesia, Malaysia mahupun di Brunei bukanlah dibuat secara sewenang-wenangnya. Ia dipilih terutama faktor sejarahnya, iaitu bahasa yang sudah dikenali dan digunakan sejak zaman-berzaman.

Kita beruntung kerana bahasa Melayu yang tumbuh di alam Melayu ini dapat berkembang subur seperti yang kita lihat sekarang. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu tidaklah tumbuh dan berkembang begitu sahaja. Ia mengalami sejarah yang panjang yang perlu kita ketahui terutama oleh generasi muda. Sejarah bahasa bukan sahaja bertujuan merakam peristiwa yang berlaku terhadap bahasa itu sendiri tetapi juga perlu agar kita menghargai, menyayangi, memelihara, mengkaji, dan menggunakannya dengan baik dan sempurna. Justeru, kita sepatutnya menghargai dan berusaha memartabatkan lagi bahasa melayu kerana bahasa adalah jiwa bangsa. Jika tiada bahasa bagi sesuatu kaum itu maka seakan-akan bangsa itu sendiri telah hilang. Apalah ada pada sesuatu bangsa jika tiada bahasa yang menjadi lambangnya. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa Dan Pustaka sebagai satu badan yang boleh memartabatkan bahasa melayu serta dapat mempertahankannya dari dimamah usia dunia dan menjaganya daripada ditenggelamkan oleh zaman era teknologi ini.

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dengan jelas diperuntukkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 menyebut dengan jelas “bahasa kebangsaan ialah Bahasa melayudan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh parlimen”. Sebagai undang-undang utama negara Perlembagaan menjadi tonggak dan kayu ukur bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan segala dasar kerajaan. Peruntukan di bawah Perkara 152 itu tidak boleh dipinda oleh Parlimen kerana kata putus terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan di bawah Perkara 159(5). Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah meresap ke dalam batang tubuh Perlembagaan; contohnya definisi orang Melayu juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2). Keakraban ini juga kelihatan dalam peruntukan di bawah Perkara 10(4) yang turut meletakkan Bahasa Melayu sebagai antara perkara-perkara yang kedudukannya tidak boleh dipersoalkan atas nama kebebasan bersuara. Ia malah boleh dikatakan sebagai sudah mencapai tahap sakral.

Meskipun begitu Perlembagaan menyedari bahawa kedudukan sedemikan tidak harus digunakan secara zalim dan menyekat atau digunakan secara membuta tuli. Inilah yang dapat dikatakan apabila kita meneliti fasal-fasal tertentu di bawah Perkara 152. Fasal (1)(a) dan (b) umpamanya membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain asalkan ia tidak dalam konteks kegunaan rasmi. Ini semua sebenarnya telah diamalkan sebelum dan selepas merdeka. Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja beberapa undang-undang dan dasar tertentu yang berlawanan dengan peruntukan dan amalan Perlembagaan dimulakan. Ini menimbulkan persoalan yang sangat serius tentang kesahihan mereka. Dan kelihatannya tindakan tersebut juga menimbulkan banyak kesulitan dan kekeliruan. Selain itu kelemahan dan kealpaan pelaksanaan Perkara 152 tidak harus dibenarkan untuk mencairkan peruntukan dan kehendak Perkara 152 yang sebenarnya turut didokong oleh Suruhanjaya Reid sendiri.

Kita percaya mahkamah akan menghukumkan isu ini dengan betul kerana para hakim telah diwajibkan oleh mahkamah untuk memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan melalui seksyen 1 Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.

Maka kita menyedari bahawa kedudukan bahasa melayu tidak akan dapat diganggu gugat selagi perlembagaan persekutuan dipertahankan kedaulatannya. Siapa yang perlu memainkan peranan dalam memastikan ianya terlaksana sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Maka disinilah peranan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan sebab itu, banyak isu yang telah dan sedang Dewan Bahasa Dan Pustaka uruskan.

PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU

Sebelum dan sewaktu Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan sejak lebih setengah abad yang lalu, bahasa dan sastera Melayu telah berjaya menggelorakan semangat nasionalisme yang akhirnya telah menghasilkan kemerdekaan kepada negara.

Apabila kita mencapai kemerdekaan, dan bahasa Melayu dinobatkan dalam Perlembagaan Negara sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, dengan sendirinya peranan bahasa Melayu semakin berkembang bukan sahaja sebagai bahasa yang menyuburkan semangat nasionalisme dalam kalangan bangsa Melayu, malah, semestinya sebagai bahasa perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai keturunan. Dengan demikian, diharapkan bahasa itu juga akan memupuk semangat nasionalisme Malaysia. Sepanjang lebih 50 tahun ini, bahasa Melayu juga memikul tanggungjawab baru menjadi bahasa kebangsaan untuk membina jati diri bangsa dan menjadi bahasa pentadbiran. Lebih daripada itu, sesuai dengan status dan martabatnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu telah berkembang sebagai bahasa ilmu pengetahuan menyahut tentangan dan tuntutan dunia moden.

Sebagai badan ilmu yang dipertanggungjawabkan untuk memodenkan dan mengembangkan bahasa Melayu, DBP tetap akan berusaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan budaya tinggi yang berupaya mengungkapkan dan membahaskan konsep-konsep canggih dan abstrak serta berupaya pula menghasilkan karya sastera yang bermutu tinggi. Lantaran itu, dengan peranan yang kian bertambah, bahasa Melayu akan terus dibina dan dikembangkan. DBP telah melangkah ke usia 52 tahun. Justeru, ia akan terus melipatgandakan usaha dan program untuk memperkasakan bahasa, sastera dan penerbitan berbahasa Melayu sejajar dengan hasrat para pemimpin terdahulu, dan aspirasi pemimpin kini. Pembinaan dan pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan dalam bahasa Melayu ialah fungsi teras DBP. Ketiga-tiga bidang ini merupakan teras perjuangan DBP. Kerjasama dengan pelbagai pihak luar pula akan sentiasa diwujudkan untuk sama-sama memperkasakan bahasa, sastera dan penerbitan dalam bahasa Melayu. Sepanjang lebih setengah abad usianya banyak yang telah dicapai oleh DBP, bagaimanapun, banyak juga kerjanya yang perlu diselesaikan. Dalam pembinaan korpus bahasa misalnya, antara pencapaian yang paling ketara ialah penciptaan hampir sejuta istilah dalam berbagai-bagai bidang ilmu serta penyeragaman ejaan antara negara-negara berbahasa Melayu di Nusantara[1]. Secara tidak langsung kesepakatan ini menjadikan pemakaian bahasa Melayu itu lebih meluas sehingga melangkau sempadan geografi. Penciptaan istilah dalam pelbagai bidang ini juga bukan sahaja memudahkan penyaluran ilmu ke dalam bahasa Melayu, malah limpahannya meresap ke bidang persuratan serta penulisan yang lain. Antara kejayaan DBP yang lain ialah menerbitkan puluhan kamus, termasuk kamus istilah dengan puluhan ribu muka surat jika dijumlahkan kesemuanya memberi manfaat kepada pengguna dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Dari segi memperkasakan sastera kebangsaan, DBP tidak pernah jemu-jemu memperkasakan karyawan kreatif dalam bidang sastera dari peringkat muda hinggalah ke peringkat sasterawan, sekali gus memperkasakan ilmuwan sastera serta meningkatkan khazanah persuratan Melayu. Antara program kesusasteraan yang dipergiat dari semasa ke semasa ialah Minggu Penulis Remaja yang diadakan dengan tujuan untuk membina dan memupuk penulis muda. Hasilnya kini kita dapat melihat nama-nama baru yang semakin meningkat seperti Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim dan Jong Chiang Lai. Secara tidak langsung DBP juga memperkasakan ilmuwan sastera termasuklah pengkaji dan pengkritik sastera melalui penganjuran bengkel, seminar, persidangan, penyelidikan, pemikiran sasterawan negara dan sebagainya. DBP senantiasa komited untuk memainkan peranannya sebagai badan perjuangan rakyat, badan kerajaan dan badan ilmu. Dalam konteks ini DBP bukan bergerak secara bersendirian, bagaimanapun, terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak luar, khususnya ahli-ahli akademik serta pakarpakar bidang. Kerjasama dalam memperkasa bahasa, sastera dan penerbitan ini cukup penting. Antara kerjasama yang DBP jalinkan dengan ahli-ahli akademik tempatan yang memperlihatkan kejayaan yang membanggakan adalah dalam bidang penyusunan Ensiklopedia Sains dan Teknologi berbahasa Melayu (bukan terjemahan). Penerbitan ensiklopedia ini telah melibatkan lebih seribu tenaga daripada kalangan ahli akademik dan bukan akademik sewaktu proses penyusunannya.

DBP juga sedang membuat penambahbaikan dan mengemas kini Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Penerbitan buku Tafsir al-Maraghiw, mengandungi 15 jilid memperkayakan lagi khazanah persuratan Melayu.

Demikian juga dalam konteks melaksanakan peranannya sebagai badan kerajaan, DBP senantiasa menyokong misi-misi nasional yang digubal dan dilaksanakan oleh Kerajaan. Sesungguhnya, dalam memperkasa bahasa kebangsaan, dan memartabatkan persuratan dalam bahasa Melayu, pasti ada pasang surutnya - banyak cabaran yang harus didepani. Sepanjang kewujudannya sejak lebih setengah abad ini DBP terus mendapat kerjasama dan dukungan yang padu daripada semua pihak, termasuk pihak pemimpin dan kepimpinan negara. Kejayaan yang diraih oleh DBP sebenarnya adalah berkat kerjasama para pakar dan pejuang bahasa serta badan-badan bukan kerajaan. Kejayaan itu adalah merupakan hasil sinergi pelbagai pihak sama ada secara langsung ataupun tidak langsung - dan tidak terhasil tanpa perhatian, komitmen serta sokongan material dan politik pihak kerajaan.

DBP MENJUARAI ISU

1) Penggantungan Sepanduk berbahasa Cina Semasa Tahun baru Cina

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) menyifatkan tindakan menggantung sepanduk berbahasa Cina di sepanjang jalan utama di ibu negara sempena Tahun Baru Cina sebagai memperlekehkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, sepatutnya perkara seumpama itu tidak berlaku kerana sebelum dipamerkan, sepanduk itu perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam isu ini DBP berpendapat bahawa langkah tersebut dianggap tidak menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang menyambut semua perayaan utama. Bagi pejuang-pejuang bahasa di DBP menyatakan perbuatan itu tidak menghargai dan mengabaikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta semangat perpaduan yang menjadi teras perpaduan masyarakat majmuk di negara ini. Usaha memperkasakan bahasa Melayu semakin berdepan dengan pelbagai cabaran terutama masalah sikap di kalangan masyarakat negara ini yang memperlekehkan penggunaan bahasa kebangsaan.

2) Isu PPSMI

Isu ini telah menarik perhatian semua warga pencinta bahasa di tanah air kita. Maka DBP tidak ketinggalan untuk memberi pandangannya sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab keatas jatuh bangunnya bahasa kebangsaan. Ianya bermula bila lima orang sasterawan negara menolak PPSMI. Kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.
Antara alasan-alasannya ialah:

a) Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh

b) Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".

c) Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.

Sebagai menguatkan bantahan mereka, tokoh-tokoh ini - Datuk A Samad Said, Muhammad Salleh, Datuk Shahnon Ahmad, Dato’ Nordin Hassan dan Dato’ Abdullah Hussien - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan” Mereka menyatakan bahawa tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa melayu. Orang tidak berani sentuh bahasa Perancis misalnya.
apa yang dinyatakan oleh mereka itu ada benarnya. Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu.

Di tengah-tengah kehangatan perjuangan pejuang bahasa untuk memartabatkan bahasa Melayu bagi memastikan haknya dipertahankan dan diletakkan di tempatnya seperti tertera dalam Perlembagaan Negara, ada suara di kalangan orang Melayu sendiri yang mempersoalkan tindakan pejuang bahasa, seolah-olah mereka melakukan suatu jenayah bangsa. Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, mengakui pejuang bahasa menerima tekanan daripada pelbagai pihak dalam usaha mereka memartabatkan semula bahasa Melayu di negara ini, berbanding ketika mereka mengadakan tunjuk perasaan pada 3 Mac 1967.“Tunjuk perasaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada masa itu hebat kerana mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat termasuk kalangan penjawat awam, polis, guru dan orang politik iaitu Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail yang ketika itu Pengarah DBP dan juga exco Umno.

Kejayaan Pejuang Bahasa

Setelah bertungkus lumus dan berperit para pejuang bahasa dalam memperjuangkan bahasa melayu untuk didaulatkan, apa yang diperjuangkan oleh mereka iaitu pengajaran Matematik dan sains di dalam bahasa ibunda bakal menjadi kenyataan bermula tahun 2012 selepas pimpinan kerajaan membuat keputusan untuk membatalkannya setelah enam tahun ia dilaksanakan. Ia jelas, menunjukkan desakan mengkaji semula mendapat perhatian kerajaan, tetapi keputusan muktamad kerajaan itu sebenarnya lebih dipengaruhi oleh hasil kajian mereka sendiri dan bukannya kerana terpengaruh dengan desakan demi desakan dari pelbagai pihak termasuk kesemua Sasterawan Negara dan parti pembangkang. Seorang pimpinan parti kerajaan dilaporkan berkata. Ternyata kita lebih selesa apabila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang berkata, pemansuhan dasar itu dibuat setelah kajian terhadap keberkesanan pelaksanaannya dilakukan.

Apapun, kita berharap keputusan ini terbaik buat semua rakyat. Perlu disedari bahawa bahasa Inggeris sememangnya penting, namun kefahaman dalam pengajian lebih penting dari bahasa yang digunakan dalam pengajian sesuatu ilmu itu. Samalah seperti pengajian ilmu Islam di dalam bahasa Arab, sekiranya peljara gagal memahami ilmu itu, ia lebih bahasa walaupun kita boleh berbangga kerana kelas dilaksanakan di dalam bahasa arab. Kesannya, pelajar akan menghafal tanpa faham dan apabila tamat pengajian dan ingin menyumbang kepada masyaarkat, mereka mula goyah dan bermasalah. Namun demikian, keperluan untuk memahami bahasa Arab dengan baik dan kemas amat penting bagi mereka yang ingin memahami ilmu Islam dengan tepat. Pergantungan kepada terjemahan hanya sesuai untuk peringkat awal dan permulaan, bukan bagi mereka yang ingin menjadi pakar.

Perjuangan pejuang bahasa yang digerakkan beberapa individu yang berani dan komited terhadap usaha memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu mendapat sokongan beberapa ilmuwan, bertambah perit dengan situasi lebih memihak kepada kerajaan, tetapi ia tidak bermakna mereka akan berhenti daripada memperjuangkannya. Jika penentangan Keranda 152 dulu ekoran Fasal 152, Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang diluluskan Parlimen memberi pengiktirafan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, sekarang bukan lagi masalah akta, tetapi dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui PPSMI. Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu khususnya pejuang bahasa apabila ia diluluskan di Parlimen dalam masa lima hari kerana ia memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa Inggeris mengatasi bahasa melayu. Perkara ini dinyatakan dalam Keranda 152 – Bahasa Kita – Air Mata & Maruah Kita diterbitkan Persatuan Linguistik Malaysia pada 2002 bagi memperingati peristiwa bersejarah terbabit, selain ekoran dasar PPSMI (2003), turut menyebut hujah mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, berhubung perkara terbabit.

Pada petang 3 Mac sebelum Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 diluluskan Dewan Rakyat Malaysia malam itu, lebih 120 pertubuhan Melayu dari seluruh negara serta orang perseorangan mengadakan rapat umum di DBP, menentangnya. Bukan saja kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tidak dilucutkan pada 1967 seperti dijanjikan akan dikaji semula selepas 10 tahun merdeka, malah diperkukuhkan dan tuntutan beberapa anggota Parlimen bukan Melayu agar meliberalkan lagi dasar penggunaan bahasa kaum mereka turut dilayan.

PENUTUP

DBP akan terus mempelopori usaha-usaha pengisian dan penjiwaan Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan. Sebagai badan yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa ibunda dalam sistem pentadbiran dan pendidikan negara ini, DBP dan semua pejuang bahasa menanam iltizam yang tinggi dalam meninggikannya. Tiadanya DBP mungkin akan menyebabkan tiadanya “check and balance” dalam setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan terutama yang melibatkan bahasa. Kerajaan juga seharusnya mengiktiraf Dewan bahasa dan Pustaka sebagai badan yang menjadi rujukan utama apabila isu bahasa disentuh. Setiap dasar bahasa seharusnya dilumatkan dahulu oleh Deqan bahasa Dan Pustaka sebelum ianya diwar-warkan dan seterusnya dilaksanakan. Sesungguhnya tiada yang lebih mengenali tentang sesuatu bahasa itu selain ahlinya. Maka saya menutup penulisan saya tentang peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan ini dengan sebuah sajak yang ditulis oleh Sasterawan negara Osman Awang pada 3 Mac 1967 :

Malam itu di Balai Budaya, Api dan Air Mata

Malam itu di Balai Budaya, Seorang guru tua berbicara

‘Berarak ke Parlimen, aku di muka’

Malam itu di Balai Budaya, Seorang peguam muda berteriak

‘Ayuh, mari kita berarak’

Malam itu di Balai Budaya, Para pelajar berikrar

“Dada kami sedia dibakar’

Malam itulah juga, Parlimen jadi pertanda

Memenggal leher BAHASA

USMAN AWANG

3 Mac 1967

Dipetik daripada Antologi Sajak Keranda 152



Tiada ulasan:

Catat Ulasan