Isnin, 22 November 2010

Kenangan PRK Galas 2010
















5 sedia berentap

Oleh Zulkofli Jamaludin, Ismail Mat, Nazura Ngah, Norliza Wasilan, Haspaizi Mohd Zain, Ramli Ibrahim, Nor Hazwani Hamat, Paya Linda Yahya dan Mohd Fakri Awang Lah
bhnews@bharian.com.my
2010/10/27

Tiada calon bebas bertanding: BN hadapi persaingan PKR, SAPP di Batu Sapi dan PAS di Galas

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menghadapi pertandingan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi, di Sabah, manakala Pas seperti yang dijangka, bersaing dengan BN untuk mempertahankan kerusi DUN Galas, Kelantan pada pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu 4 November depan.

Calon BN di Batu Sapi, Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS), Datin Linda Tsen Thau Lin akan ditentang oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Ansari Abdullah.
Namun, agak mengejutkan apabila tiada calon bebas bertanding seperti kelaziman politik Sabah yang kerap menyaksikan kemunculan calon bebas, terutama pada pilihan raya kecil.


Di Galas pula, Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad ditentang Setiausaha UMNO Gua Musang, Ab Aziz Yusoff, selepas parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) yang sebelum ini menyatakan meletakkan calon, tidak berbuat demikian.

Di SANDAKAN, Ansari, 56, mengemukakan kertas pencalonan di Dewan Masyarakat Sandakan pada jam 9.08 pagi, diikuti Yong, 52, seminit kemudian dan Linda, 54, pada jam 9.12 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Batu Sapi, Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama ketiga-tiga calon pada jam 11.20 pagi, selepas tempoh bantahan tamat jam 11 pagi.

Antara yang mengiringi calon BN ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail; Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengiringi Ansari, manakala Yong mengetuai sebilangan kecil penyokong, termasuk dua Ahli Parlimen SAPP, Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Sepanggar).

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Linda, Datuk Edmund Chong Ket Wah, akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Di GUA MUSANG, Ab Aziz yang menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi tiba diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Dr Zulkefli pula menyerahkan borang pada jam 9.33 pagi. Beliau diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan calon PAS yang mendakwa Ab Aziz masih berkhidmat dalam kerajaan kerana bekas pengurus pejabat operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu memilih bersara awal.

Proses pencalonan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, lancar tanpa kejadian tidak diingini berikutan langkah keselamatan ketat termasuk mengasingkan penyokong pada jarak lebih 200 meter, walaupun parti bertanding membawa bersama ribuan penyokong.

Nama calon diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Galas, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid pada jam kira-kira jam 11.30 pagi, Pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian penyandang daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah pada 27 September lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan