Isnin, 22 November 2010

Kenangan PRK Galas 2010 (2)




Tarikh mengundi 4 November



PUTRAJAYA – Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan diadakan 4 November ini, manakala penamaan calon dijadualkan pada 26 Oktober.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika mengumumkannya pada sidang media berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas mengenainya diadakan.

Menurutnya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 28 September berhubung kekosongan kerusi DUN Galas berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Che Hashim Sulaima 27 September lalu.

“Kita telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu.

“Dengan ini saya mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Galas akan diadakan pada 26 Oktober (Selasa) dan tarikh pengundian pula pada 4 November (Khamis),” katanya, semalam.

Wan Ahmad berkata, SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai Pusat Penamaan Calon dan Dewan Sivik Gua Musang sebagai Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.:

“Sebanyak 11 buah sekolah, satu balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan satu dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemua 25 saluran tempat mengundi.

“Seramai 323 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya ini,” katanya.

SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemas kini sehingga 27 September lalu.

SPR juga melantik Ketua Jajahan Gua Musang Wan Mustapha Wan Abdul Hamid sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Paya manakala Penolong Pegawai Pengurus pula terdiri daripada Mohammad Yusoff Hassan (Timbalan Ketua Jajahan Gua Musang), Mohd Helmi Mat Zin (Penolong Ketua Jajahan Gua Musang) dan Hasnul Hariz Abd Llah (Penolong Ketua Jajahan Gua Musang).

Bagi pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya pula SPR melantik Muhamad Rasani Ramli (Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang), Mohd Khiril Hazmie Yusof (Penolong Ketua Jajahan Gua Musang) dan Norhalis Mohamad Noor (Penolong Ketua Jajahan Gua Musang).

Beliau berkata, peruntukan bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil DUN Galas dianggarkan sebanyak RM1.3 juta.

“Kita anggarkan lebih RM1 juta, mungkin RM1.3 juta kerana terdapat empat pusat pengundian memerlukan perkhidmatan helikopter,” katanya.

Ketika ditanya sama ada SPR akan mendapatkan khidmat pemantau bebas termasuk Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) bagi memantau Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Wan Ahmad berkata SPR tidak akan melantik mana-mana pertubuhan untuk menjadi pemantau.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan