Tajuk :
Satu Malaysia : huraikan.
PENDAHULUAN
Konsep Satu Malaysia telah diperkenalkan oleh Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak apabila mula memegang tampuk pemerintahan Negara pada April 2008. Ia merupakan kesinambungan kepada apa yang diperjuangkan semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Dalam Negara Malaysia yang Majmuk ini, konsep satu Malaysia yang lebih menekankan perpaduan antara semua kaum sangat penting untuk di jayakan kerana tanpa perpaduan yang mantap maka kita boleh melihat bagaimana Negara ini pernah cuba dimusnahkan dengan sentiment perkauman iaitu tragedy 13 Mei 1969. Kita tidak mahu perkara ini terjadi lagi dalam Negara kita maka semestinya gagasan Satu Malaysia ini perlu didokong sebik mungkin terutama oleh semua kakitangan awam dalam Negara Malaysia yang tercinta ini. Sesungguhnya pengalaman bapanya Tun Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri ke dua selepas Tunku Abdul Rahman telah memberi inspirasi serta panduan kepada beliau dalam mencari formula terbaik bagi memulakan pentadbiran di Negara yang berbilang kaum dan agama ini. Kejayaan ayahanda beliau Tun Abdul Razak menyatukan umat Malaysia sehingga digelarkan sebagai Bapa Perpaduan telah memberi satu semangat yang tinggi kepada beliau untuk menyatukan rakyat Malaysia pasca pilihanraya umum ke 12. Umum mengetahui bahawa kerajaan kehilangan banyak kepercayaan terutama daripada bukan Melayu pada pilihanraya yang lepas selepas beberapa isu yang bersifat rasis telah ditimbulkan semata-mata untuk melemahkan kerajaan yang ada atau lebih tepat lagi ialah untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada.
KONSEP SATU MALAYSIA
Gagasan Satu Malaysia (1Malaysia) yang berslogankan “Rakyat di dahulukan, Pencapaian Diutamakan” adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.”[1]
Dibawah Satu Malaysia, kita mengamalkan kesaksamaan dan kesamarataan dikalangan rakyat Malaysia. Dengan adanya gagasan Satu malaysia ini maka tiada lagi pihak yang boleh mengkelaskan mana-mana lagi golongan dalam warganegara Malaysia ini sebagai warganegara kelas kedua. Semua golongan yang memerlukan tidak kira apa bangsa akan di bantu dan diberi pertolongan sebagaimana yang telah digariskan dalam perlembagaan Malaysia. Kerajaan akan memberi perhatian dan akan memastikan tiada rakyat yang akan terpinggir dari mendapat bantuan kerajaan. Dengan gagasan Satu Malaysia kerajaan akan bersifat adil dan akan dilihat sebagai adil. Adil bukanlah bermaksud menyamaratakan hak atau keistimewaan dengan membuta tuli tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Natijahnya rakyat Malaysia akan hidup dalam suasana kasih sayang, hormat menghormati dan mengamalkan prinsip-prinsip kebersamaan ( Togetherness) dan kekitaan (sense of belongings) dalam satu keluarga Malaysia yang besar.
Sifat-sifat sebeginilah yang akan membantu mencapai aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 serta pemangkin kepada pembinaan negara bangsa.
Namun perpaduan antara kaum tidak akan tercapai sekiranya rakyat malaysia tidak mempunyai sikap penerimaan antara kaum. Sesuatu kaum sepatutnya menerima kaunikan kaum lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Orang melayu diterima oleh kaum-kaum lain sebagai kaum bumiputera dan mempunyai haknya yang tersendiri sebagai bumiputera dan kaum-kaum lain juga diterima oleh orang-orang melayu sebagai warganegara yang sah dan turut mempunyai hak mereka tersendiri yang diiktiraf oleh perlembagaan.
Gagasan Satu malaysia juga menerapkan nilai-nilai murni dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya iaitu hormat menghormati, rendah hati, kesederhanaan dan berbudi bahasa.
RAKYAT DIDAHULUKAN
Slogan “Rakyat didahulukan “ sangat dinanti-nanti natijahnya dan rakyat seluruhnya sangat mengharapkan mereka akan benar-benar didahulukan oleh kerajaan. Bila kebajikan rakyat didahulukan bermakna kepentingan lain yang boleh menidakkan kebajikan rakyat akan menjadi perkara yang kurang penting termasuklah kepentingan politik dan peribadi para pemimpin. Apabila berlaku konflik antara kepentingan rakyat dan kepentingan parti politik pemerintah maka kepentingan rakyat akan didahulukan. Itulah yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat.
Peranan Pemimpin Negara
Pemimpin tertinggi negara mempunyai peranan yang sangat besar dalam memastikan slogan ini dapat dilaksanakan. Satu malaysia tidak akan berjaya selagi pemimpin negara ini termasuklah pemimpin yang mencetuskan idea ini dan lebih-lebih lagi pemimpin yang memuja-muja gagasan ini tidak berubah. Tidak berubah yang saya maksudkan ialah keengganan untuk memecah tembok pemisahan antara agama, bangsa dan kepercayaan politik. Apabila pemimpin yang melaung-laungkan slogan Satu malaysia ini masih belum bersedia membuka fikirannya menerima hakikat bahawa rakyatnya berhak memilih agama dan kepercayaan politiknya maka konsep 1malaysia yang didokong ini tidak akan berjaya bahkan akan tinggal slogan semata-mata. Konsep Satu Malaysia sepatutnya turut melibatkan konsep federalism sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Federalism bermaksud Malaysia adalah ‘satu’ negara yang menaungi negeri-negeri dibawahnya. Negeri-negeri ini bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan persekutuan juga bertanggungjawab kepada negeri-negeri kerana negeri-negeri ini walaupun berlainan tetapi mempunyai ayah yang satu iaitu kerajaan Malaysia. Kerajaan dalam memjayakan konsep Satu malaysia dengan slogan Rakyat didahulukan sepatutnya tidak mengutamakan kepentingan politiknya bila berhadapan dengan kebajikan rakyat di negeri-negeri yang di perintah oleh pembangkang diperingkat persekutuan. Bila Rakyat didahulukan maka rakyat di negeri-negeri ini tidak patut dianak tirikan dan dinafikan haknya. Sesungguhnya saranan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani baru-baru ini yang melarang pegawai-pegawai kementeriannya dari menghadiri mesyuarat yang dianjurkan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat sangat mengelirukan apabila slogan rakyat didahulukan bergema. Begitu juga dengan tindakan kerajaan menafikan royalti minyak dan gas kepada negeri kelantan. Sebenarnya walaupun niat kerajaan persekutuan ialah untuk menyeksa kerajaan negeri namun hakikatnya ia menyeksa rakyat negeri itu. Jika tindakan itu bermaksud ‘rakyat didahulukan” maka slogan itu adalah tidak tepat.sepatutnya slogan itu berbunyi ‘rakyat didahulukan jika menguntungkan pemimpin negara’. Oleh itu untuk membuktikan bahawa Yang Amat Berhormat Dato’ seri Najib bin Tun Abdul Razak dan kerajaan serius mendahulukan rakyat, langkah pertama yang harus dilakukan dengan cara membayar royalti petroleum berjumlah RM500 juta kepada Kerajaan Kelantan.
Membayar royalti petroleum yang tertunggak sejak tahun 2004 merupakan usaha mendahulukan rakyat kerana wang tersebut milik rakyat Kelantan jadi sewajarnya kerajaan persekutuan mengembalikan hak rakyat Kelantan.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Dato' Husam Musa tuntutan yang dibuat oleh kerajaan Kelantan sewajarnya dipertimbangkan oleh Perdana Menteri yang mahu mendahulukan rakyat.
Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara tersebut. Mewakili seluruh rakyat Kelantan, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution pada 16 Jun lalu ketika bangun membahaskan Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 mendedahkan sikap tidak adil kerajaan persekutuan yang menganaktirikan rakyat Kelantan dengan cara menafikan hak mereka menerusi wang royalti petroleum sejak tahun 2004.
Beliau mengecam sikap pemimpin Kerajaan Persekutuan yang sering menyerang pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan dengan mengatakan mereka tidak pandai memerintah, tidak pandai mentadbir, tidak pandai membangunkan rakyat dan lain-lain sedangkan pada hakikatnya pemimpin Kerajaan Persekutuan menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Kelantan.
"Kerajaan Persekutuan sepatutnya membayar royalti petroleum ini kepada Kelantan kerana ia hak rakyat Kelantan dan bersesuaian dengan slogan satu Malaysia, rakyat didahulukan.
Jika royalti ini diserahkan lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan kerana dalam keadaan pendapatan yang tidak seberapa pun sudah banyak program kebajikan untuk rakyat dapat dilaksanakan,"tegas beliau.
Saifuddin juga menegaskan kerajaan pusat perlu amanah dalam menjaga dan menbahagikan hak rakyat. Tidak ada sebab untuk menafikan hak mana-mana rakyat hanya kerana negerinya tidak diperintah oleh Barisan Nasional.
Pendedahan yang dibuat oleh Saifuddin di Dewan Rakyat itu mendapat respons dari Ahli Parlimen Rantau Panjang, Puan Siti Zailah Yusof yang mendesak Perdana Menteri memberi pertimbangan yang adil terhadap rakyat Kelantan dalam pemberian royalti petroleum di negeri tersebut.
"Kenapa Kelantan dinafikan haknya sedangkan negeri seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak menerima royalti daripada hasil petroleum?
"Rakyat Kelantan turut membayar cukai dan Kelantan juga sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, justeru saya berharap hak rakyat Kelantan dapat dikembalikan," tegas beliau.
Siti Zailah juga menyelar tindakan itu dengan menyifatkannya sebagai menganiaya pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.
Sebanyak 13 trillion kaki persegi simpanan gas asli yang sudah diterokai terdapat di perairan Kelantan. Dengan jumlah tersebut, ia mencukupi untuk tempoh lebih kurang 500 tahun lamanya.
Kerajaan Kelantan telah meluluskan pembinaan Terminal Pendaratan Gas Asli dan juga Supply Base untuk Petroleum dalam usaha memperkasakan hasil bumi Kelantan dan mempertahankan hak rakyat Kelantan.
PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
YAB. Perdana Menteri yakin sekiranya konsep 1Malaysia dihayati oleh pemimpin kerajaan terutamanya para menteri, rakyat akan kembali kepada kerajaan pada pilihanraya umum akan datang. Saya amat setuju dengan kenyataan ini. Lapan nilai murni yang digariskan oleh Perdana Menteri sekiranya mampu dilaksanakan sepenuhnya, Malaysia akan jadi negara contoh di dunia. Rakyat satu Malaysia bakal menilai. KPI di tangan rakyat. Sekiranya gagal, kerajaan yang ada sekarang menghadapi risiko untuk tumbang dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.
Persoalanya, mampukah pemimpin kita melaksanakannya? Ini tugasan yang berat. Jadi pemimpin untuk berebut projek kerajaan tidak membawa sebarang makna kepada kejayaan 1Malaysia, bahkan bakal meruntuhkan gagasan murni itu.
Pemimpin yang memperjuangkan kepentingan diri harus dinyahkan dari kerajaan. Pemimpin yang mempunyai sikap positif dan murni harus diberikan keutamaan. Perdana Meteri mesti tegas dalam hal ini. Misalnya, integriti sangat penting dalam pelaksanaan dasar pembangunan negara secara menyeluruh, tetapi nilai inilah yang kita ketandusan. Sehingga sekarang kita belum nampak bahawa para menteri sedang mengorak langkah ke arah 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, sebaliknya masing-masing menegakkan gagasan sendiri.
1Malaysia bukan sekadar “sebutan” atau dijadikan “tema” hari kebesaran tertentu, tetapi satu gagasan yang WAJIB dilaksanakan dengan sepenuh hati!
Satu Malaysia adalah satu harapan agar semua rakyat Malaysia dapat hidup aman dan harmoni tanpa batasan ideologi, budaya, etnik, atau agama. Oleh itu, Satu Malaysia akan sentiasa “memberikan teguran” kepada mereka yang lalai terhadap gagasan “pembangunan untuk semua rakyat Malaysia” secara adil dan saksama.
Lantaran kita mesti terus bersuara untuk mengekalkan perpaduan. Perpaduan tunggak keharmonian. Politik perkauman melampau dan ekstremis agama merupakan musuh utama perpaduan. Oleh itu, kita harus bijak apabila hendak mengucapkan isu berkaitan kaum dan agama. Kita tidak boleh merelakan masa depan kita tergadai oleh perjuangan sempit kita.
Memperjuangkan masa depan kaum sendiri tidak salah, malah digalakkan kerana setiap orang ada perasaan sayangkan kaum dan keturunannya. Tetapi lebih mulia kalau memperjuangkan mereka yang tertindas dan memerlukan bantuan kerana mereka ini ada dalam semua kaum.
Dan Satu Malaysia yakin bahawa perpaduan dan keamanan tetap akan terpelihara sekiranya semua rakyat berpayung di bawah panji Raja-Raja Melayu yang berdaulat.
SATU MALAYSIA SELARI DENGAN DASAR ISLAM
Ketahuilah bahawa Allah menjadikan manusia yang pelbagai agama, jantina, warna kulit, bangsa, rupa dan keturunan bukanlah suatu agenda yang sia-sia. Ia untuk mengajak manusia supaya saling mengenali serta berkasih sayang, hormat menghormati sesama manusia dalam konteks kemanusiaan. Ini termaktub jelas dalam kalam Allah yang cantik melalui firman-Nya dalam surah hujurat ayat 13 yang bermaksud :
“hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali .
Islam mengajar umatnya bahawa manusia perlu kepada taaruf (kenal-mengenali) untuk menghubungkan hati-hati persaudaraan sesama manusia agar kita saling dihormati, mampu menghakiskan sikap curiga-mencurigai antara satu sama lain dan memupuk rasa sayang-menyayangi. Sikap keakuan (ananiyyah) ataupun berpuak-puak (asabiyyah) wajib dijauhi kerana ia mencetus perbalahan dan perpecahan. Atau sebab inilah, Menteri Besar kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang istiqomah mengamalkan pentadbiran Islam di wilayah pemerintahannya telah melakukan usaha murni dalam menjaga hubungan baik antara kaum minoriti yang terdapat di Negeri Kelantan dan ia bolehlah dicontohi. Di sana ada kifalah, ladang rakyat, penghulu bukan Islam dan program non diskriminasi yang lain. Beliau sentiasa mengadakan pertemuan dengan pembesar-pembesar kaum minoriti ini untuk memberi penjelasan berkaitan dengan dasar dan pelaksanaan kerajaan negeri. YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz meletakkan Islam di hadapan, bangsa dan kaum itu kemudian sebagaimana kata-katanya :”kita di Malaysia suka sebut ketuanan Melayu, sebab Melayu bangsa asal. Tetapi kita lupa bahawa bumi ini kepunyaan Allah. Sepatutnya kita kena sebut ketuanan Allah..beginilah cara berfikir orang-orang beriman”.[2]
PENUTUP
Sesungguhnya gagasan secantik Satu Malaysia perlu digarap dan diusahakan kejayaannya dan konsepnya perlu diperluaskan lagi bukan hanya kepada kesatuan dalam hal-hal bangsa tetapi kita mengenepikan ideologi-ideologi politik agar rakyat dapat kita dahulukan dan mengutamakan pencapaian semoga rakyat akan hidup aman harmoni dan bahagia dalam menuju sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan