Khamis, 5 November 2009

Review filem 'Dream Team'

MOVIE REVIEW : Huraikan masalah dan isu yang timbul dalam filem “ Dream Team “

dan kenalpasti sifat-sifat kepimpinan yang ada dalam filem ini.

Didalam filem ini terdapat beberapa watak yang sangat menarik untuk dibincangkan. Semua watak memainkan peranan yang sangat penting dan membantu dalam mencorakkan cerita ini agar menjadi lebih menarik. Diatas kekuatan watak-watak inilah menjadikan filem ini lebih bertenaga dan mengajak penonton agar mengikutinya sehingga akhir cerita.

Cerita ini bermula apabila seorang pelajar tadika bernama Huakaew melihat iklan tentang pertandingan tarik tali dan berminat menyertainya. Beliau telah berusaha mengajak kawan-kawannya pelajar tadika tersebut yang seramai 10 orang yang berumur 5 tahun untuk meneyrtainya bersama. Bagaimanapun mereka memerlukan sokongan guru mereka dalam menyertai pertandingan tersebut maka berbagai-bagai ragam dan perangai ditunjukkan oleh mereka dalam usaha mereka memujuk guru mereka iaitu cikgu Nee Lok menguruskan pasukan mereka. Kerana termakan dengan pujuk rayu murid-muridnya itu, Cikgu Nee lok pun setuju untuk mencari seorang jurulatih untuk melatih kana-kanak berumur 5 tahun ini. Jurulatih yang dimaksudkan bukanlah jurulatih tarik tali tetapi seorang jurulatih bola sepak yang bernama Byrd. Mr Byrd adalah seorang yang mempunyai watak garang tetapi berhati lembut dan mudah untuk dipujuk jika kena pada caranya. Pada mulanya Byrd tidak berminat untuk melatih kanak-kanak tersebut dan menolak permintaan Cikgu Nee Lok. Menyedari bahawa satu-satunya kelemahan ketara Mr Byrd ialah ibunya maka Cikgu Nee Lok telah meminta ibu Mr Byrd untuk memujuk beliau melatih pasukan tarik tali tersebut. Maka akhirnya sebagaimana yang dirancang Mr Byrd bersetuju melatih pasukan tersebut setelah dipujuk oleh ibunya.

Dalam usaha Mr Bydr menyediakan pasukannya untuk ke pertandingan tarik tali kebangsaan itu terdapat berbagai-bagai halangan sama ada dari segi karenah pelajar itu sendiri dan juga tingkah laku yang kurang menyenangkan daripada ibu bapa yang mencampuri urusannya melakar strategi bagi pasukannya. Sebagai contoh ayah kepada Hua Kaew yang mendesak Mr Byrd untuk meletakkan anaknya sebagai pemain utama sedangkan Mr Byrd telah putuskan yang Hua Kaew hanya akan bertindak sebagai pemain pengganti kerana masalah kesihatannya. Tindakan keras oleh ayah Hua Kaew hingga mengakibatkan pergaduhan berlaku dan Mr Byrd mengugut untuk meletakkan jawatan. Namun masalah itu selesai apabila Hua Kaew menunjukkan kematangannya dalam memperbaikkan antara Mr Byrd dengan ayahnya serta akur dengan posisinya sebagai pemain pengganti. Beliau juga menganggap bahawa dirinya walaupun sebagai pengganti namun boleh menjadi wira bila pasukan betul-betul memerlukannya. Impiannya menjadi kenyataan apabila pasukannya memerlukan pemain pengganti maka Hua Kaew telah menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bagi serta mengetuai pasukannya dalam menentukan kejuaraan. Hasilnya pasukannya menang dan dialah wira yang sebenarnya. Ada juga dikalangan ibubapa yang bersemangat namun memberi pelajaran yang tidak sepadan dengan tahap pemikiran kanak-kanak tersebut. Mereka tidak mampu menyelami apa yang diingini oleh anak-anak mereka sehinggakan ada ibu yang bersikap seperti ‘Bos’ dan ayah yang terlampau taksub dengan kaedah sains dalam memotivasi anak-anak mereka sehinggakan memberi kesan negatif pada semangat anak-anak mereka kerana anak-anak mereka mempunyai interpretasi yang berbeza dengan ibubapa mereka dalam pengajaran yang mereka berikan. Kalau boleh dijadikan contoh seorang ayah yang juga pakar sains membawakan statistik yang dalam dunia ini 80% adalah orang yang kalah dan 20% adalah orang yang menang. Beliau bertanya pada anaknya golongan mana hendak dipilih dan anaknya memilih untuk menjadi golongan yang kalah kerana golongan itu mewakili 80%. Disebabkan 80 adalah angka yang lebih besar berbanding 20 maka kanak-kanak tentulah memilih 80.

Walau bagaimana banyak dugaan dan cabaran sekalipun dalam penyediaan pasukan ini namun akhirnya pasukan ini menang di pertandingan akhir. Semangat juang yang tinggi dan perasaan tidak berputus asa telah meletakkan pasukan itu sebagai johan pertandingan tarik tali kebangsaan itu.

Sesungguhnya filem ini memberi peluang para penonton untuk memahami dan menghayati nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Walaupun diselitkan dengan pelbagai ragam kelucuan namun mesej yang disampaikan jelas tidak menjejaskan kualiti filem yang dipertontonkan.

Melalui filem ini, para penonton dengan jelas dapat melihat semangat dan kematangan Hua Kaew dalam mengharungi cabaran dan halangan walaupun diletakkan sebagai pengganti. Disini juga dapat dilihat kaedah SWOT yang digunakan oleh Mr Byrd dalam membuat percaturan agar pasukannya menang. Dalam meletakkan seseorang pemain dalam satu-satu posisi, beliau mengambil kira faktor kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang yang ada bagi setiap pelatihnya dan itu telah menjadi kunci kepada kejayaannya. Kaedah analisa SWOT ini telah digunakan bukan sahaja oleh Mr Byrd bahkan turut digunakan oleh Cikgu Nee Lok dalam memujuk Mr Byrd melatih pasukannya. Begitu juga dengan Hua Kaew dalam memujuk ayahnya berbaik-baik kembali dengan jurulatih. SWOT adalah singkatan dari bahasa Inggeris STRENGTHS (Kekuatan), WEAKNESSES (Kelemahan), OPPORTUNITIES (Peluang) dan THREATS (Ancaman). Analisa SWOT berguna untuk menganalisa faktor-faktor di dalam organisasi dan juga individu dari sudut faktor luaran dan juga faktor dalaman. Secara ringkasnya analsis SWOT dapat dibagikan dalam lima langkah:

1. Menyiapkan sesi SWOT.
2. Mengidentifikasi kekuatan dan kelemahan.
3. Mengidentifikasi kesempatan dan ancaman.
4. Melakukan ranking terhadap kekuatan dan kelemahan.
5. Menganalisis kekuatan dan kelemahan.

Akhir sekali apa yang saya cuba simpulkan ialah setiap sesuatu pekerjaan tidak boleh dilaksanakan dengan emosi sahaja bahkan ia memerlukan perancangan yang rapi serta dinamik dengan mengambil kira faktor-faktor yang boleh membawa kepada sesuatu kejayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan